Perahu Rajawali juara Regata 2016

Perahu Rajawali juara Regata 2016

Oleh Mohamad Asyramisyanie

Gambar Oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Ogos – Pasukan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang juga disertai Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda Abdul Mateen bersama Ahli Jawatankuasa (AJK) Regata A menggunakan perahu ‘Rajawali’ muncul juara bagi Kategori Perahu Kaca Gentian Acara Khas 15 Pekayuh pada Regata Brunei Darussalam 2016 di Sungai Brunei, hari ini.

Tempat kedua dimenangi oleh pasukan yang disertai oleh Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah bersama AJK Regata ‘B’ menggunakan perahu ‘Punai’, manakala tempat ketiga jatuh kepada pasukan yang disertai Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah bersama barisan penghulu mukim dan ketua-ketua kampung menggunakan perahu ‘Belais’.

Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik juga berkenan menyertai perlumbaan dengan mengetuai Pasukan Setiausaha-setiausaha Tetap dan Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap menggunakan perahu ‘Semperiding’.

Regata Brunei tahun ini menyaksikan beberapa kategori perlumbaan iaitu Perlumbaan Perahu Tradisi 25 Pekayuh Kementerian-Kementerian, Perlumbaan Perahu Tradisi Terbuka 25 Pekayuh, dan Perlumbaan Perahu Kaca Gentian 15 Pekayuh (jemputan syarikat swasta dan institusi pengajian tinggi) dan Perlumbaan Perahu Tradisi 30 Pekayuh Terbuka (maraton).

Sejurus selepas perlumbaan, Baginda Sultan telah berkenaan menganugerahkan hadiah kepada barisan pemenang dalam kelima-lima lima kategori perlumbaan yang berlangsung hari ini.

Baginda Sultan berkenan mengurniakan hadiah kepada Pasukan Putera Kuala Lawas yang muncul juara dalam Acara Lumba Perahu Tradisi 30 Pekayuh Terbuka (Maraton).
Baginda Sultan berkenan mengurniakan hadiah kepada Pasukan Putera Kuala Lawas yang muncul juara dalam Acara Lumba Perahu Tradisi 30 Pekayuh Terbuka (Maraton).

Tampil juara dalam Bahagian Perahu Tradisi 25 Pekayuh Antara Kementerian ialah Pasukan Jabatan Perdana Menteri dengan catatan masa 5 minit 9 saat diikuti oleh Pasukan Kementerian Pertahanan dengan masa 5 minit 16 saat di tempat kedua dan berada di tempat ketiga ialah Pasukan Kementerian Pembangunan dengan masa 5 minit 33 saat.

Majlis Lumba Perahu Kampung Lorong Dalam pula mencatatkan masa 4 minit 30 saat dalam Bahagian Perahu Tradisi 25 Pekayuh Terbuka sekali gus tampil juara dengan meninggalkan Pasukan Mukim Saba di tempat kedua yang berada tujuh saat di belakang diikuti oleh pasukan GP Punang Bersatu Lawas di tempat ketiga yang berada 10 saat di belakang juara.

Dengan catatan masa 5 minit 18 saat, Pasukan Kelab Regata TelBru pula gah di persada Bahagian Perahu Kaca Gentian 15 Pekayuh (jemputan syarikat swasta dan institusi pengajian tinggi) di tempat pertama setelah menewaskan Syarikat Penerbangan Diraja Brunei yang terpaksa akur di tempat kedua dan BIBD di tempat ketiga.

Tampil juara dalam Perlumbaan Perahu Tradisi 30 Pekayuh Terbuka (maraton) pula Pasukan Putera Kuala Lawas yang berada 16 saat di hadapan pencabar terdekatnya iaitu Pasukan Kementerian Pertahanan sebagai naib juara diikuti oleh Pasukan Majlis Lumba Perahu Kampung Lorong Dalam di tempat ketiga.

ARTIKEL YANG SAMA