Perak pertama untuk negara

Perak pertama untuk negara

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Nov – Ahmad Muawwiz, Muhd Hisyam dan Mohd Hasbul nyaris menghadiahkan pingat emas buat Brunei Darussalam dalam Pencak Silat Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN ke-7 (ASG7) Brunei Darussalam 2015 melalui Kategori Seni Bela Diri, Regu Lelaki petang ini.

Mereka mencatat mata yang sama dengan Regu Lelaki Indonesia iaitu 453 mata dan setelah dirujuk ketetapan peraturan menentukan kemenangan jika berlaku kesamaan mata iaitu dinilai dari sudut ‘Kebenaran Jurus’ yang ternyata memihak Indonesia dengan 284 mata berbanding 283 mata bagi Brunei Darussalam.

Keputusan itu sekali gus memberikan pingat emas kepada Indonesia yang diwakili Kresna, Muhd Hendri dan Rano Slamet, sementara Brunei Darussalam terpaksa akur mendapat pingat perak. Gangsa pula dimenangi Malaysia dengan 452 mata.

Bagaimanapun keputusan dalam pencak silat hari ini berkenaan belum dimasukkan ke dalam carta pungutan pingat kerana penyampaian pingat hanya akan diadakan pada Majlis Penutupan Rasmi Pertandingan Pencak Silat ASG7 2015 pada Khamis, 26 November.

Ahmad Muawwiz, Muhd Hisyam dan Mohd Hasbul memberi Brunei Darussalam pingat pertamanya dalam ASG7, perak dalam Seni Bela Diri Regu Lelaki, Pencak Silat.
Ahmad Muawwiz, Muhd Hisyam dan Mohd Hasbul memberi Brunei Darussalam pingat pertamanya dalam ASG7, perak dalam Seni Bela Diri Regu Lelaki, Pencak Silat.

pg24_151125_LOGO ASG7

Dua lagi peserta Brunei Darussalam dalam Kategori Seni Bela Diri iaitu bagi acara Tunggal Lelaki dan Ganda Perempuan terlepas dari memenangi sebarang pingat selepas hanya menduduki tempat keempat dalam acara masing-masing.

Nurazfar bin Abang Ahmad hanya mengumpul 447 mata dalam acara Tunggal Lelaki, di belakang juara, Dzaki Fadlorrohman (Indonesia) yang memungut 461 mata, naib juara, Nashrul Edzam bin Mohd Asri (Malaysia) yang mengumpul 455 mata dan ketiga, Souksavanh Chantilath (Laos) dengan 450 mata.

Dalam acara Ganda Perempuan, Muna Munirah dan Hajah Siti Nur Izyan Naqilah mendapat 528 mata, jauh ketinggalan dari pemenang gangsa, Vu Khanh Ly dan Le Thi Hien (Vietnam) yang mengumpul 536 mata, perak, Ayuni Nadiah dan Nur Shahida (Malaysia) dengan 556 mata dan emas, Siti Nursaadah dan Risya Gunawan (Indonesia) yang meraih 560 mata.

Hadir ke Dewan Serba guna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) menyaksikan Kategori Seni Bela Diri berkenaan ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi ASG7 Brunei Darussalam 2015.

ARTIKEL YANG SAMA