Perak Transit guna RM20 juta daripada hasil IPO untuk pengembangan

Perak Transit guna RM20 juta daripada hasil IPO untuk pengembangan

KUALA LUMPUR, 18 Sept – Syarikat bas yang berpangkalan di Ipoh, Perak Transit Bhd, memperuntukkan RM20 juta daripada hasil tawaran awam permulaannya (IPO) berjumlah RM36.75 juta untuk pengembangan.

Ketua Pegawai Kewangan, John Loh Kwang Yean, berkata sebahagian daripada peruntukan itu akan digunakan untuk pembinaan terminal pengangkutan awam bersepadu yang baharu di Kampar.

“Bagi terminal Kampar, kami telah mempunyai kelulusan perancangan daripada pihak berkuasa negeri Perak dan kini sedang menunggu kelulusan pelan bangunan.

“Selepas mendapat kelulusan pelan bangunan, kami menjangka pembinaan selama 18 bulan untuk siap,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran prospectus syarikat itu bersempena tawaran awam permulaannya di sini hari ini.

Menurut prospektus tersebut, jumlah kos terminal Kampar adalah sebanyak RM128.33 juta dan kumpulan itu menjangka mendapat kemudahan pembiayaan sebanyak RM100 juta untuk membiayai pembinaan tersebut.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Abu Bakar Said (kanan) bersama (dari kiri) Pe­ngarah Eksekutif Perak Transit Berhad, Datuk Cheong Peak Sooi, Pengarah Urusan Perak Transit, Datuk Seri Cheong Kong Fitt dan Pengerusi Bukan Eksekutif Perak Transit, Tan Sri Chang Ko Youn ketika melancarkan Terminal Perak Transit Khamis lalu. – Bernama
Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Abu Bakar Said (kanan) bersama (dari kiri) Pe­ngarah Eksekutif Perak Transit Berhad, Datuk Cheong Peak Sooi, Pengarah Urusan Perak Transit, Datuk Seri Cheong Kong Fitt dan Pengerusi Bukan Eksekutif Perak Transit, Tan Sri Chang Ko Youn ketika melancarkan Terminal Perak Transit Khamis lalu. – Bernama

Pembelian 25 buah bas ekspres baharu itu dijangka menjadi kenyataan pada akhir tahun, kata Loh sambil menambah kos bas baharu itu adalah pada purata RM480,000 sebuah.

Pada masa ini, kumpulan itu mempunyai 146 buah bas.

Perak Transit, yang akan disenaraikan di Pasaran Ace pada 6 Okt, pada masa ini mengendalikan terminal pengangkutan awam bersepadu AmanJaya di Ipoh dan menyediakan perkhidmatan bas awam.

Kumpulan itu menyasarkan untuk mengumpul jumlah hasil kasar sebanyak RM36.75 juta melalui IPO.

Selain pengembangan, kumpulan itu turut memperuntukkan RM2.11 juta untuk pembayaran balik kemudahan sewa beli, modal kerja (RM10.48 juta) dan anggaran perbelanjaan penyenaraian (RM4.16 juta).

Kumpulan itu juga menyasarkan untuk menggunakan tanah sedia ada yang belum dibangunkan di Terminal AmanJaya sebagai hab komersial dan gaya hidup.

Selain itu, ia juga mahu menggunakan saluran pengiklanan dan promosi yang baharu seperti platform digital.

Loh berkata kumpulan turut merancang untuk menjalankan kajian daya maju bagi membangunkan terminal pengangkutan awam bersepadu di negeri lain.

“Pada peringkat ini, kami mahu menumpukan kepada terminal Kampar dahulu. Apabila wujud peluang, sudah pasti kami akan meneliti perkara itu,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA