Perakam data CN235 dihantar ke Bandung

Perakam data CN235 dihantar ke Bandung

KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) – Perakam Data Penerbangan dan Perakam Data Suara milik pesawat CN235, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terhempas di Kuala Selangor Jumaat lepas, telah dihantar ke Bandung, Indonesia untuk dianalisis.

Panglima TUDM Jeneral Tan Sri Roslan Saad berkata ia dihantar kepada pihak Pengeluar Peralatan Tulen (OEM) pesawat di negara itu dengan diiringi dua pegawai TUDM.

Beliau juga berkata TUDM masih meneruskan usaha untuk menaikkan pesawat itu, yang masuk hari ketujuh hari ini. Semalam, Crash and Salvage Team (Pasukan Nahas dan Penyelamat) TUDM berjaya mengapungkan enjin kanan pesawat itu sebelum ia ditunda ke jeti nelayan berhampiran.

“Sayap kanan pesawat itu juga dapat diapungkan dan ditarik ke jeti.Dalam masa yang sama, pasukan Salvage masih lagi mengumpulkan serpihan pesawat di kawasan insiden,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. Roslan berkata pihaknya turut mendapat bantuan Rejimen Askar Jurutera Diraja dan Tentera Darat yang akan memasang Jambatan Apung ke pesawat bagi memudahkan Crash and Salvage Team sampai ke pesawat itu bagi kerja-kerja pengapungan.

Gambar yang diambil pada 26 Februari 2016 menunjukkan bangkai pesawat TUDM jenis CN235 yang terhempas di kawasan pantai Kampung Asam Jawa. – Bernama
Gambar yang diambil pada 26 Februari 2016 menunjukkan bangkai pesawat TUDM jenis CN235 yang terhempas di kawasan pantai Kampung Asam Jawa. – Bernama

“Setakat ini, tiga anak kapal pesawat itu telah dibenarkan keluar dari Hospital Angkatan Tentera Tunku Mizan, seorang lagi yang patah tangan kiri telah selamat menjalani pembedahan kecil di tangan dan dilaporkan kembali pulih,” katanya.

Dalam kejadian 08:50 pagi itu, pesawat berkenaan yang membawa lapan anak kapal membuat pendaratan cemas setelah dikatakan mengalami kerosakan enjin di pesisir pantai berhampiran Batu 2, Kuala Selangor. Kesemua anak kapal dapat diselamatkan dengan bantuan nelayan tempatan di kawasan itu. Pada Isnin lepas, kotak hitam pesawat CN235 telah ditemui.

ARTIKEL YANG SAMA