Peralatan judi RM500,000 dirampas dalam tiga serbuan

Peralatan judi RM500,000 dirampas dalam tiga serbuan

KUCHING, 16 Dis (Bernama) – Polis menahan 13 orang dan merampas 16 unit pemprosesan pusat (CPU) dan monitor komputer, 37 tablet, 29 mesin slot dan dua ‘mesin perjudian ikan’ yang diubah suai, bernilai kira-kira RM500,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Dev Kumar M.M Sree Shunmugam berkata penahanan dan rampasan itu hasil daripada serbuan ke atas tiga buah premis yang dijadikan mini kasino di pekan Marudi, kira-kira 800km dari sini, malam tadi. Beliau berkata serbuan itu dijalankan sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah di sini, antara pukul 9.30 malam dan 11.45 malam.

Dev Kumar berkata di premis pertama, polis merampas dua mesin permainan ikan yang diubah suai dengan memuatkan 16 CPU dan monitor di bahagian sisi, serta 20 tablet pelbagai jenama, dipercayai digunakan khusus untuk perjudian dalam talian.

“Enam orang yang berada di premis berkenaan ketika serbuan dilakukan telah ditahan. Di premis kedua, enam mesin slot dirampas dan tiga orang ditahan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.