Peralatan terkini tingkat kawalan sempadan

Peralatan terkini tingkat kawalan sempadan

PASIR MAS, 20 Nov – Kerajaan akan menggunakan peralatan terkini untuk meningkatkan kawalan dan pemeriksaan di kesemua pintu masuk di sempadan Malaysia dan Thailand.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata peralatan berkenaan akan dipasang secepat mungkin kerana kekurangannya menyumbang kepada kegiatan penyeludupan di kawasan sempadan.

“Saya lihat terdapat kekurangan daripada aspek peralatan seperti alat pengimbas untuk pemeriksaan badan ke atas orang ramai, barang dan lori,” katanya kepada pemberita selepas melawat Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Rantau Panjang di sini, hari ini.

Dalam lawatan kerja sehari ke negeri ini, beliau turut meninjau sekitar kawasan Sungai Golok yang menjadi sempadan antara Malaysia dan Thailand.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed (tiga, kiri) bertanya sesuatu kepada pengguna jalan raya di sekatan jalan raya ketika melawat sempadan Malaysia-Thailand hari ini. – Bernama
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed (tiga, kiri) bertanya sesuatu kepada pengguna jalan raya di sekatan jalan raya ketika melawat sempadan Malaysia-Thailand hari ini. – Bernama

Nur Jazlan berkata dalam tinjauannya di pintu masuk sempadan di negeri ini, didapati ada alat pengimbas badan ke atas orang ramai yang rosak manakala tiada alat pengimbas untuk barangan dan lori.

Beliau berkata bagi memperkasakan kawalan di sempadan, seluruh agensi penguat kuasa di sempadan di bawah KDN akan digerakkan secara bersepadu dengan agensi penguatkuasaan di kementerian lain. – Bernama