Perampas EgyptAir ditangkap

Perampas EgyptAir ditangkap

LARNACA, Cyprus/KAHERAH, 29 Mac (Reuters) – Sebuah pesawat EgyptAir yang terbang dari Iskandariah ke Kaherah telah dirampas dan dipaksa mendarat di Cyprus hari ini namun para penumpang dan kru telah dibebaskan dengan selamat dan perampas kapal, yang motifnya masih misteri, telah ditangkap selepas menyerah diri.

Seramai 81 orang, termasuk 21 warga asing dan 15 kru, menaiki pesawat Airbus 320 ketika ia berlepas, kata Kementerian Penerbangan Awam Mesir dalam satu kenyataan.

Pelbagai andaian mengenai motif penyerang, dengan para pegawai Cyprus mengatakan pada awal insiden, ia kelihatannya tidak berkaitan dengan pengganasan namun penyiar kerajaan Cyprus mengatakan dia menuntut pembebasan banduan wanita di Mesir.

Selepas pesawat berkenaan mendarat di lapangan terbang Larnaca, rundingan bermula dan semua orang di dalamnya telah dibebaskan kecuali tiga penumpang dan empat kru, kata Menteri Penerbangan Awam Mesir, Sherif Fethy.

Sejurus selepas komennya, rakaman televisyen Cyprus menunjukkan beberapa orang penumpang meninggalkan pesawat menerusi tangga dan lelaki lain dilihat keluar daripada cermin kokpit dan menyelamatkan diri.

Seorang lelaki yang dipercayai perampas kapal Airbus A320 EgyptAir, meninggalkan pesawat itu sebelum menyerah diri kepada pasukan keselamatan selepas ketegangan enam jam di tarmak lapangan terbang Larnaca pada 29 Mac. – AFP
Seorang lelaki yang dipercayai perampas kapal Airbus A320 EgyptAir, meninggalkan pesawat itu sebelum menyerah diri kepada pasukan keselamatan selepas ketegangan enam jam di tarmak lapangan terbang Larnaca pada 29 Mac. – AFP

Perampas kapal kemudian menyerah diri kepada pihak berkuasa.

“Ia sudah berakhir,” kata kementerian luar Cyprus dalam tweet.

Bercakap kepada para wartawan selepas krisis itu berakhir, Perdana Menteri Mesir Sherif Ismail mengatakan perampas adalah rakyat Mesir namun motifnya masih tidak jelas.

“Pada waktu tertentu, dia meminta untuk bertemu dengan perwakilan Kesatuan Eropah (EU) dan juga meminta untuk pergi ke lapangan terbang lain namun tidak ada permintaan yang khusus,” katanya menambah bahawa lelaki itu kini sedang disoal siasat bagi memastikan motifnya.

Pegawai kementerian luar Cyprus, Alexandros Zenon memberitahu para wartawan semasa krisis tersebut perampas berkenaan kelihatannya ‘tidak stabil’.

Manakala itu, Kementerian Penerbangan Awam Mesir mengatakan juruterbang pesawat, Omar al-Gammal, telah memberitahu pihak berkuasa bahawa dia telah diancam oleh seorang penumpang yang mendakwa memakai tali pinggang disemat bahan letupan dan memaksanya untuk mengalihkan pesawat ke Larnaca.

Gambar dalam televisyen kerajaan Mesir menunjukkan lelaki pertengahan usia dalam sebuah pesawat memakai kaca mata dan memaparkan tali pinggang putih dengan poket bonjol dan wayar-wayar terjojol.

Fethy, menteri Mesir mengatakan pihak berkuasa mensyaki tali pinggang bersemat bom itu adalah palsu namun menganggap insiden itu serius dalam memastikan keselamatan semua penumpang di dalamnya.

Dalam siasatan terbaru, pihak berkuasa Cyprus telah memastikan tali pinggang yang dipakai lelaki berkenaan juga tidak mengandungi bahan letupan, kata kementerian Penerbangan Awam Mesir dalam satu kenyataan.

“Penumpang kami semuanya selamat termasuk kru…kami tidak boleh mengatakan ia adalah tindakan pengganas…dia tidak profesional,” Fethy memberitahu para wartawan selepas insiden tersebut.

Semasa di tengah-tengah krisis, saksi mengatakan perampas kapal telah melontarkan surat dalam apron di Larnaca, ditulis dalam bahasa Arab, meminta ia disampaikan kepada bekas isterinya di Cyprus.