Peranan bank ...

Peranan bank penting dalam pertumbuhan negara

KUALA LUMPUR, 14 Feb – Peranan bank penting dalam menyokong pertumbuhan negara dengan memperluaskan kemudahan kredit kepada perniagaan dan isi rumah, dan akan terus melaksanakannya sejajar dengan tahap aktiviti ekonomi.

Menurut Persatuan Bank-Bank Malaysia (ABM) dalam kenyataan hari ini, bank komersial sentiasa aktif dalam perniagaan pinjaman dan perniagaan yang berdaya maju akan terus berupaya mendapat pembiayaan.

Mengenai laporan baru-baru ini bahawa bank mempunyai kapasiti yang terhad untuk memberi lebih pinjaman, ABM berkata bank-bank komersial masih komited untuk menyokong perniagaan dan syarikat korporat.

“Perniagaan yang menghadapi cabaran dalam permohonan pinjaman mereka digalakkan berbincang dengan pemberi pinjaman mereka apabila membuat penilaian bagi sebarang kemudahan yang mereka mohon.

“Syarikat korporat dan usahawan digesa membuat perbandingan bagi pakej pembiayaan yang terbaik yang memenuhi keperluan mereka,” katanya.

ABM berkata bank komited untuk meningkatkan keupayaan mereka bagi menyokong perniagaan dan usahawan yang termasuk menawarkan pelbagai pakej pinjaman untuk memenuhi keperluan perusahaan yang inovatif. Persatuan itu berkata mudah tunai sistem perbankan tempatan kekal baik berikutan nisbah liputan mudah tunai di bawah Basel III sektor itu sebanyak 125 peratus sehingga Disember tahun lepas.

“Nisbah pinjaman kepada deposit sektor itu juga kukuh sebanyak 89.9 peratus dengan tahap pinjaman terjejas bersih kekal pada 1.2 peratus daripada pinjaman bersih, dan nisbah liputan pinjaman sebanyak 90.2 peratus sehingga pada Disember 2016,” katanya. – Bernama