Peranan bomba meluas, tidak hanya memadamkan kebakaran

Peranan bomba meluas, tidak hanya memadamkan kebakaran

Oleh Ampuan Irma Susanti

TEMBURONG, 30 Dis – Kira-kira 65 orang anggota Pasukan Bomba dan Penyelamat Cawangan Operasi ‘G’ Bangar dan cawangan Rataie telah menyertai Pesta Sukan Penutup 2015 yang berlangsung di Batu Apoi, di sini, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Pengarah Bomba dan Penyelamat Awang Lim Hock Guan.

Turut hadir ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Sulaiman bin Haji Ahad, Pegawai Pemerintah Operasi ‘G’ Abdul Hadi Zulfadli bin Haji Yahya, Penolong Pegawai Daerah Temburong, Awang Amir Khairil bin Haji Mahmud, para pegawai kanan kerajaan, penghulu mukim dan ketua-ketua kampung di Daerah Temburong.

Pegawai Balai Stesen Komander Balai Bomba Bangar, Awang Ajak bin Haji Jais dalam ucapan alu-aluannya berkata peranan bomba pada masa kini bukan sahaja memadam kebakaran, malah tugas dan tanggungjawab mereka semakin besar berikutan penambahan jumlah rakyat dan berlakunya bencana alam yang tidak diduga seperti tanah runtuh, angin kencang mahupun banjir kilat.

Salah seorang tetamu khas menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang.
Salah seorang tetamu khas menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang.
Acara lompat jauh salah satu sukan yang dipertandingkan.
Acara lompat jauh salah satu sukan yang dipertandingkan.

Selain mempergiat usaha meningkatkan kemahiran dan kecekapan anggota pasukan keselamatan dalam usaha-usaha menyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat juga begitu aktif mengadakan pelbagai aktiviti sukan.

Ini, jelas beliau, bertujuan untuk menguji ketahanan fizikal, mental dan spiritual anggota-anggota bomba di samping meningkatkan perpaduan kerjasama, mengeratkan semangat perpaduan, mendorong untuk lebih kreatif dan inovatif, serta memupuk semangat kesukanan dan disiplin diri.

Dalam acara berkenaan beberapa jenis sukan dipertandingkan termasuk larian trek, lompat jauh, lontar lembing, tarik kalat dan acara sukan ria, dengan Pasukan A Balai Bomba Bangar dinobatkan sebagai pemenang keseluruhan.

Aktiviti seumpama ini diharap dapat meningkatkan lagi tahap ketahanan fizikal dan mental para anggota bomba di samping meningkatkan minat golongan dan warga dalam jabatan ini agar lebih aktif dalam bidang sukan serta memupuk sifat kepimpinan dalam berpasukan.