Peranan ibu bapa curah kasih sayang

Peranan ibu bapa curah kasih sayang

Oleh Noorhamizan Haji Mohd Mosbi

 

TEMBURONG, 2 Mac – Lebih 70 orang Muslimah masjid telah menghadiri Ceramah Khas Perhimpunan Muslimah-muslimah Masjid Daerah Temburong sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-32 Tahun yang diadakan di Dewan Sekolah Rendah Bokok, baru-baru ini.

Hadir menyampaikan ceramah khas tersebut ialah Ketua Unit Kaunseling dan Kerjaya Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Haji Ali Yusri bin Haji Abdul Ghafor.

Dalam ceramahnya itu, beliau menjelaskan bahawa generasi berwawasan merupakan golongan pemangkin pembangunan negara justeru peranan para ibu bapa adalah memberikan kasih sayang sepenuhnya terhadap anak-anak mereka.

Haji Ali Yusri, ketika menyampaikan ceramah kepada para muslimah masjid.
Haji Ali Yusri, ketika menyampaikan ceramah kepada para muslimah masjid.

Menurut beliau, mencurahkan kasih sayang sepenuhnya adalah penting diberi perhatian dan tumpuan yang sewajarnya, kerana generasi berwawasan merupakan generasi pelapis pemimpin masa hadapan sekali gus akan menstabilkan politik, memantapkan ekonomi dan mencapai kejayaan sosial.

Majlis anjuran ahli-ahli jawatankuasa takmir beberapa buah masjid itu merupakan kesempatan untuk menerapkan ilmu pengetahuan dalam kalangan Muslimah masjid di daerah ini, di samping memantapkan keimanan dan ketakwaan para Muslimah yang hadir ke majlis ilmu tersebut.

ARTIKEL YANG SAMA