Peranan ibu bapa penting

Peranan ibu bapa penting

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 5 Sept – Ibu bapa memainkan peranan penting dalam sama-sama merealisasikan visi sekolah bagi menyediakan institusi cendekiawan unggul dan misi sekolah mendidik cendekiawan dengan kemahiran mapan dalam merealisasikan aspirasi negara.

Komitmen, kerjasama dan penglibatan ibu bapa dalam memantau anak-anak semasa di rumah akan memberi impak yang positif lebih-lebih lagi dengan cabaran masa dan teknologi masa kini.

Perkara ini ditekankan oleh Pengetua Pusat Tingkatan Enam (PTE) Tutong, Hajah Murni binti Abdullah semasa menyampaikan ucapan pada Program Sentuhan Kasih Ibu Bapa Sebelum GCE A Level Tahun 2016, yang diadakan di PTE Tutong, baru-baru ini.

Lebih kurang 80 orang ibu bapa pelajar PTE Tutong hadir menyertai program itu yang berlangsung selama dua hari, 1 dan 3 September 2016 yang lalu bagi persediaan dari segi fizikal, mental, moral dan spiritual serta peranan mereka dalam membantu anak-anak mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan nanti.

Doa, restu, solat Hajat dan penerapan kerohanian daripada ibu bapa adalah antara aspek terpenting yang dikongsi sama dalam ceramah motivasi oleh penceramah undangan dari Pusat Dakwah Islamiah bagi memberi motivasi kepada anak-anak.

Ibu bapa dan penjaga pelajar PTE Tutong yang hadir menyertai Program Sentuhan Kasih Ibu bapa.
Ibu bapa dan penjaga pelajar PTE Tutong yang hadir menyertai Program Sentuhan Kasih Ibu bapa.
Seorang ibu membuat warkah kepada anaknya dan juga melakarkan kata-kata motivasi di I-Poster.
Seorang ibu membuat warkah kepada anaknya dan juga melakarkan kata-kata motivasi di I-Poster.

Selain itu, kongsi sama daripada ibu bapa cemerlang juga membuka mata para ibu bapa bahawa komunikasi berkesan dalam keluarga merupakan kunci utama kepada memahami tekanan anak-anak terutama menjelang peperiksaan.

Penerangan Hala Tuju Pelajar daripada Bahagian Education Development Unit juga memberi gambaran mengenai masa depan para pelajar selepas belajar di PTE.

Antara objektif program ini diadakan adalah untuk memberi tip dan kongsi sama kepada ibu bapa dalam sama-sama membantu pihak sekolah bagi memberi sokongan, dorongan yang berterusan kepada anak-anak mereka.

Melalui program ini juga, ibu bapa turut serta dalam membuat warkah kepada anak mereka dan juga melakarkan kata-kata motivasi di I-Poster sebagai lambang kasih mereka kepada anak-anak dan dorongan kata positif kepada mereka, yang dikendalikan oleh Jabatan Kaunseling PTE Tutong.

Banyak tip baik dikongsi sama untuk kesedaran kepada ibu bapa agar memberi sokongan moral yang berterusan kepada anak-anak. Program ini diharap akan menimbulkan keprihatinan ibu bapa serta meningkatkan keyakinan pelajar-pelajar dalam menduduki Peperiksaan GCE A Level nanti dan akan mendapat keputusan yang cemerlang.