Peranan PIBG penting lahir pelajar cemerlang

Peranan PIBG penting lahir pelajar cemerlang

Oleh Hajah Saemah Kepli

KUALA BELAIT, 10 Feb – Masalah-masalah yang wujud di sekolah boleh diselesaikan sekiranya pihak berkepentingan khususnya ibu bapa pelajar sentiasa bekerjasama dengan pihak sekolah, dan melalui jaringan hubungan yang baik juga mampu melahirkan para pelajar yang cemerlang dalam semua aspek.

Tidak dinafikan peranan dan tanggungjawab Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sesebuah sekolah memberi kesan kepada kemajuan dan pencapaian sekolah dan dengan penglibatan mereka juga dapat mewujudkan anak-anak mereka selaku pelajar cemerlang dan mempunyai sahsiah yang tinggi dengan memberikan perhatian serta pemantauan di rumah.

Demikian ucapan Ketua Kluster 6 Jabatan Sekolah-sekolah, Dayang Nor Asurah binti Haji Meludin semasa berucap pada Bengkel Kemahiran Kepimpinan dan Pengurusan PIBG Kluster 6 Daerah Belait yang berlangsung di Pusat Pembelajaran dan Perkembangan Kesihatan, Hospital Suri Seri Begawan (HSSB) di sini, hari ini.

Seramai 70 ibu bapa dan penjaga daripada PIBG Kluster 6 Daerah Belait menghadiri bengkel tersebut yang diadakan selama dua hari bermula hari ini dan dibahagikan kepada dua sesi pagi dan petang.

Antara yang hadir menyertai Bengkel Kemahiran Kepimpinan dan Pengurusan Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) Kluster 6 Daerah Belait yang berlangsung di Pusat Pembelajaran dan Perkembangan Kesihatan, HSSB Kuala Belait.
Antara yang hadir menyertai Bengkel Kemahiran Kepimpinan dan Pengurusan Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) Kluster 6 Daerah Belait yang berlangsung di Pusat Pembelajaran dan Perkembangan Kesihatan, HSSB Kuala Belait.
Dayang Nor Asurah ketika menyampaikan ucapannya pada bengkel itu.
Dayang Nor Asurah ketika menyampaikan ucapannya pada bengkel itu.

Bengkel yang pertama kali dianjurkan itu merupakan inisiatif pihak Kluster 6, bertujuan mengetahui sejauh mana penglibatan PIBG dalam membantu meningkatkan prestasi akademik pelajar khususnya dan prestasi sekolah amnya.

Selain itu, ia juga sebagai pemudah cara bagi PIBG untuk menyampaikan apa jua permasalahan yang timbul dalam sama-sama mengaktifkan persatuan tersebut di sekolah-sekolah dan juga sebagai mencari jalan penyelesaiannya.

Menurut Dayang Nor Asurah, kecemerlangan pelajar banyak dipengaruhi oleh beberapa faktor antaranya adalah penglibatan ibu bapa, guru, rakan sebaya dan persekitaran.

Namun, katanya, untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik bukanlah satu perkara yang sukar, tetapi ia perlu seiring dengan kecemerlangan aspek-aspek yang lain seperti kemahiran komunikasi, kepimpinan, pengurusan diri, akhlak dan personaliti.

“Masalah disiplin seperti selalu tidak hadir sekolah merupakan salah satu masalah yang sering berlaku dalam dunia pendidikan dan hasil kajian mendapati ia berpunca daripada beberapa faktor seperti sikap pelajar, pengaruh rakan sebaya, faktor ibu bapa dan juga guru.

“Kopko (2007) menyatakan bahawa menempuhi peringkat usia remaja selalunya digambarkan sebagai saat-saat yang paling kritikal dan mencabar bagi seseorang remaja mahupun ibu bapa, kerana pada peringkat tersebut pelajar mudah terpengaruh dengan rakan sebaya dan budaya luar, sehubungan itu adalah penting bagi ibu bapa mengawal tingkah laku anak-anak mereka supaya sentiasa berada pada landasan yang betul,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Pelajaran Kluster 6 Jabatan Sekolah-sekolah Daerah Belait, Awang Mohamad Hatta bin Haji Suhaili ketika ditemu bual Media Permata, mengatakan, bengkel tersebut dihasratkan untuk memberikan pengetahuan dan pengalaman kepada PIBG dalam bidang kepimpinan dan juga memotivasikan diri untuk mengaktifkan keahlian serta menambah bilangan PIBG di sekolah-sekolah.

Selain katanya, pada masa ini PIBG diutamakan untuk mencapai sasaran dan mengukuhkan lagi program akademik 2017 terutamanya dalam peperiksaan awam PSR, BGCE ‘O’ dan ‘A’ Level serta bagaimana peranannya dapat membantu sekolah dan mencari penyelesaian yang terbaik bagi meningkatkan pembelajaran para pelajar demi merealisasikan matlamat dan hasrat Kementerian Pendidikan ke arah Wawasan 2035 Negara Brunei Darussalam.

ARTIKEL YANG SAMA