Perancang kewangan Baiduri terima sijil CMSRL

Perancang kewangan Baiduri terima sijil CMSRL

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Feb – Seramai 13 orang perancang kewangan kanan Bank Baiduri telah menerima sijil sebagai pemegang Lesen Wakil Perkhidmatan Pasaran Modal (CMSRL) selepas menjalani kursus kajian selama sebulan di Pusat Pengurusan dan Kewangan Perbankan Islam (CIBFM), baru-baru ini.

Selepas berjaya menyelesaikan kertas penilaian, kumpulan itu menerima sijil dalam satu majlis yang berlangsung di Baiduri Capital, Kiarong minggu lalu yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui selaku Pengarah Baiduri Capital.

Pengurus Baiduri Capital, Peng Eng Soon berkata, “Dengan kesedaran awam yang meningkat tentang pentingnya perancangan kewangan untuk mencapai matlamat kewangan peribadi jangka panjang, permintaan bagi produk dan perkhidmatan perancangan kewangan meningkat dengan pantas di negara ini dan oleh sebab itu, kami akan terus memperkenalkan produk dan perkhidmatan baru untuk memenuhi keperluan pelanggan.”

“Di bawah Peraturan Pasaran Sekuriti, sesetengah kegiatan perniagaan kami pada masa ini, seperti perdagangan sekuriti, nasihat pelaburan dan penjualan amanah saham memerlukan perancang kewangan kami memperoleh CMSRL sebelum menyediakan perkhidmatan ini kepada para pelanggan. Untuk itu, kami telah mengambil langkah untuk memperoleh perakuan pensijilan ini bagi kakitangan kami.

“Perakuan pensijilan CMSRL ini akan membolehkan kami menawarkan beberapa perkhidmatan termasuk perancangan persaraan, insurans, pelaburan dan pendidikan, analisis jurang, kajian portfolio, pemeriksaan kesihatan kewangan dan penilaian profil risiko,” tambah Peng lagi.

Para perancang kewangan Bank Baiduri bergambar ramai bersama sijil CMSRL masing-masing.
Para perancang kewangan Bank Baiduri bergambar ramai bersama sijil CMSRL masing-masing.

Dalam menghuraikan secara terperinci matlamat pengalaman pelanggan, Peng berkata, mereka berusaha menyemai tahap keyakinan pada pelanggan untuk berurus niaga dengan mereka.

“Perancang kewangan berkelayakan ini akan ditempatkan di cawangan-cawangan strategik Bank Baiduri di seluruh Brunei supaya para pelanggan mudah berhubung dengan mereka.

“Cawangan-cawangan itu ialah Kuala Belait, Seria, Serusop, Times Square, Supa Save Gadong, Sengkurong, Kiulap, Kiarong dan juga di Baiduri Capital di Kiarong. Kami juga merancang untuk mempunyai lebih ramai perancang kewangan memperoleh CMSRL dalam tempoh terdekat.”

Juga hadir pada majlis penyampaian sijil itu ialah Ketua Perbankan Runcit dan Rangkaian Cawangan, Pengiran Azaleen bin Pengiran Dato Haji Mustapha dan Pengurus Kanan Sumber Tenaga dan Kewangan, Veronica Chong serta pihak pengurusan dan kakitangan lain Bank Baiduri dan Baiduri Capital.

ARTIKEL YANG SAMA