Perancangan pembasmian kemiskinan

Perancangan pembasmian kemiskinan

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Okt – Negara Brunei Darussalam menyertai menteri-menteri ASEAN yang lain dalam Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN mengenai Kemajuan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan dan Mesyuarat Berkaitan Kali Ke-9 (AMRDPE) yang berlangsung di Vientiane, Laos, baru-baru ini.

Delegasi negara diketuai oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dato Paduka Dr. Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Mesyuarat selama lima hari bermula 13 sehingga 17 Oktober itu bertemakan ‘Perkongsian Awam, Swasta dan Orang ramai (4Ps) bagi Kemajuan Berdaya Tahan dalam ASEAN.’ Perasmian mesyuarat disempurnakan oleh Perdana Menteri Laos, Tuan Yang Terutama Thongsing Thammavong.

AMRDPE Kali Ke-9 didahului dengan Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan ASEAN mengenai Kemajuan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan Ke-12 dan Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan ASEAN+3 Kali Ke-8 mengenai Kemajuan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan.

Mesyuarat tersebut memberikan ruang bagi Negara Brunei Darussalam dan ahli-ahli negara ASEAN yang lain untuk memberikan fokus ke atas perkembangan pelaksanaan Perancangan Tindakan Rangka Kerja ke atas Kemajuan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan 2011-2015 dan Kemajuan Perancangan Tindakan Rangka Kerja ASEAN ke atas Kemajuan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan 2016-2020.

Dato Paduka Dr. Haji Affendy (lima dari kanan) bergambar ramai bersama para perwakilan menteri dan para delegasi ahli ASEAN.
Dato Paduka Dr. Haji Affendy (lima dari kanan) bergambar ramai bersama para perwakilan menteri dan para delegasi ahli ASEAN.

Sempena mesyuarat tersebut, Forum ASEAN ke-4 mengenai Kemajuan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan turut diadakan dan antara panel speaker terdiri daripada Presiden Majlis Wanita Brunei Darussalam, Datin Hajah Siti Hajar binti Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Awang Yusof.

Anugerah Kepimpinan Kedua ASEAN ke atas Kemajuan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan diberikan kepada Majlis Wanita Brunei Darussalam yang disampaikan oleh Menteri Pejabat Kerajaan, Tuan Yang Terutama Bounheuang Douang-phachanh sebagai pengerusi Jawatankuasa Peneraju Kebangsaan bagi Kemajuan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan dan Setiausaha Agung ASEAN, Le Loung Minh.

Anugerah tersebut diberikan berdasarkan peranan signifikan mereka dan menjadi contoh pertubuhan bukan kerajaan dalam menangani dan menjaga kebajikan komuniti, dalam membolehkan komuniti setempat untuk berkembang maju dan menjadi ahli produktif terhadap masyarakat.

ARTIKEL YANG SAMA