Perancangan program selepas belajar dibincangkan

Perancangan program selepas belajar dibincangkan

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Jan – Kira-kira 50 buah agensi akan terlibat dalam Program Hala Tuju Selepas ‘O’ Level dan Eksplorasi Kerjaya 2016 yang bakal diadakan selama 21 hari bermula 25 Februari nanti di 29 buah sekolah menengah di negara ini.

Perancangan mengenai program ini telah dibincangkan dalam Perjumpaan Bersama Agensi-agensi bagi Program Pendidikan Kerjaya tahun 2016 anjuran Unit Kaunseling dan Kerjaya Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan yang berlangsung di Dewan Syarahan, Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri, di sini, petang ini.

Perjumpaan tersebut dimulakan dengan penerangan daripada Ketua Pendidikan Kerjaya, Hajah Roslin binti PDIS Haji Johari yang juga antara lain menyatakan objektif bagi program itu.

Menurut beliau, antara objektif program yang bakal diadakan itu adalah bagi mendapatkan maklum balas keperluan perkembangan diri pelajar, minat, sikap, aspirasi dan keupayaan diri serta melakukan integrasi antara pendidikan kerjaya dengan pendidikan akademik untuk menghasilkan perkembangan intelektual.

Antara wakil agensi yang terlibat dalam perbincangan itu, kelmarin.
Antara wakil agensi yang terlibat dalam perbincangan itu, kelmarin.

Selain itu, ia juga berobjektif membantu mengembangkan kemahiran sosial, nilai diri, harga diri melalui aktiviti perkembangan kerjaya dan seterusnya memberi peluang kepada pelajar-pelajar untuk berinteraksi bersama agensi kerajaan dan swasta yang diundang.

Perjumpaan juga diteruskan dengan taklimat Program Hala Tuju dan Eksplorasi Kerjaya Tahun 2016 yang disampaikan oleh Dayang Siti Hajar binti Haji Khamis.

Beliau antara lain menyatakan bahawa program kali ini bukan hanya tertumpu kepada taklimat malah juga akan mengadakan pameran untuk memberi peluang kepada para pelajar mengetahui lebih lanjut akan hala tuju mereka selepas ‘O’ Level nanti.

Menurutnya, atas permintaan ramai pada tahun lalu, beberapa buah sekolah juga akan mengundang ibu bapa untuk turut serta dalam program tersebut bagi mendorong serta membantu anak-anak mereka merancang hala tuju mereka.

Acara tersebut diakhiri dengan sesi soal jawab yang dikemukakan oleh agensi-agensi yang terlibat.

ARTIKEL YANG SAMA