Perancis, Australia kukuh hubungan pertahanan

Perancis, Australia kukuh hubungan pertahanan

CANBERRA, 2 Mei (AFP) – Perjanjian besar untuk membina kapa selam Australia amat penting, Perdana Menteri Perancis Manuel Valls berkata hari ini, dan beliau berjanji akan sendiri menyelia projek itu, ketika Paris dan Canberra mengukuhkan hubungan pertahanan.

Kontraktor DCNS Perancis pada minggu lalu mengatasi persaingan dari Jepun dan Jerman untuk memeterai kontrak bernilai Aus$150 bilion, yang membuatkan Valls mengadakan lawatan mengejut ke Canberra.

“Saya akan sendiri menyelia pelaksanaan komitmen kami dengan menteri pertahanan yang tidak lama lagi akan datang ke Australia,” Valls memberitahu sidang media dengan rakan sejawatnya dari Australia Malcolm Turnbull. “Ini adalah perkongsian perindustrian dan ekonomi. Ia juga perkongsian yang mengikat kami sangat lama berhubung isu-isu lain, termasuklah keselamatan dan pertahanan,” tambah beliau lagi.

Valls berkata itu adalah perjanjian ‘seimbang’ , dengan menambah kata bahawa Paris akan memenuhi komitmennya termasuklah pembentukan pekerjaan di Australia dan pemindahan teknologi. DCNS merancang membina kapal selamnya berkuasa biasa seberat 4,500 tan dari versi Barracuda seberat 4,700, yang menurut syarikat itu ‘artifak kompleks dari segi teknikal di Australia’.

Manuel Valls (kiri) berjabat tangan dengan Malcolm Turnbull (kanan) selepas mesyuarat di bangunan Parlimen di Canberra Kelmarin. – AFP
Manuel Valls (kiri) berjabat tangan dengan Malcolm Turnbull (kanan) selepas mesyuarat di bangunan Parlimen di Canberra Kelmarin. – AFP

Laman sesawang DCNS mengatakan kapal baru itu akan menjadi ‘penerima teknologi kapal selam Perancis yang dilindungi dan paling sensitif dan akan menjadi kapal selam biasa paling berbahaya pernah difikirkan.”

Sebuah konsortium yang disokong kerajaan Jepun diketuai oleh Mitsubishi Heavy Industries dan kumpulan Jerman, ThyssenKrupp Marine Systems, juga bersaing. Tetapi Canberra berkata DCNS dianggap ‘yang terbaik yang memenuhi semua keperluan kemampuan unik kami.”

Proses tender sensitif dari segi politik di negara itu, dengan pilihan raya kebangsaan dijangkakan pada Julai nanti. Canberra menegaskan semua kapal selam hendaklah dibina di Australia di tengah kebimbangan sebarang pembelian sudah sedia ada boleh menjejaskan industri pembinaan kapal tempatan.

“Kami berada di negara pulau dan mesti memastikan kita mempunyai pertahanan terbaik. kini itu adalah objektif utama,” kata Turnbull.