Perancis belasah Russia 4-2

Perancis belasah Russia 4-2

PARIS, 30 Mac (AFP) – N’Golo Kante meraikan ulang tahun kelahirannya dengan jaringan pada penampilan pertama di peringkat antarabangsa untuk membantu Perancis mencipta kemenangan 4-2 ke atas Russia pada aksi perlawanan persahabatan di Stade de France, awal pagi tadi.

Kante membuka jaringan lapan minit selepas tampil buat kali pertama bersama skuad Les Bleus dan Andre-Pierre Gignac menggandakan jaringan sebelum Alexander Kokorin menanduk masuk gol pembukaan Russia pada babak kedua.

Dimitri Payet kemudian membuktikan peranan pentingnya dalam skuad Perancis apabila menyempurnakan sepakan percuma dan Kingsley Coman turut menjaringkan gol menarik selepas Yuri Zhirkov menambah satu lagi gol untuk Russia dalam aksi yang menghiburkan.

Walaupun bolos, ia adalah kemenangan yang amat memberangsangkan buat tuan rumah Euro 2016 berkenaan pada malam yang mana bola sepak antarabangsa kembali ke Stade de France hanya empat bulan selepas serangan pengganas yang berlaku di luar padang dan di tempat lain di Paris.

Kante (kiri) ketika bersaing dengan pemain Rusia, Kokorin dalam perlawanan persahabatan Perancis menentang Rusia di Stade de France semalam. – Reuters
Kante (kiri) ketika bersaing dengan pemain Rusia, Kokorin dalam perlawanan persahabatan Perancis menentang Rusia di Stade de France semalam. – Reuters

“Terdapat banyak perkara yang baik. Tidak semua sempurna tetapi ini adalah satu pasukan yang boleh terus maju ke hadapan.

“Semua pemain mempamerkan kombinasi yang baik dan kami mempunyai permainan yang pantas,” kata jurulatih Perancis, Didier Deschamps, yang mana pasukan turut mencatatkan kemenangan 3-2 di Belanda pada Jumaat lalu.

“Ia hanya perlawanan persahabatan tetapi kami perlu memenanginya. Ia baik untuk mendapatkan keyakinan, untuk ketenangan kami, tetapi ujian sebenar itu akan datang pada Jun.”