Perancis cadang kenakan sekatan ke atas pegawai Libya

Perancis cadang kenakan sekatan ke atas pegawai Libya

PARIS, 11 Mac (AFP) – Perancis pada Isnin akan mencadangkan untuk mengenakan sekatan Kesatuan Eropah (EU) ke atas mana-mana pegawai Libya yang menghalang penubuhan kerajaan perpaduan yang disokong PBB, kata Menteri Luar Perancis Jean-Marc Ayrault semalam.

“Saya tidak mengecualikan untuk mengugut mereka dengan sekatan. Apa-apa pun, itulah yang akan saya cadangkan kepada rakan sekerja hal ehwal luar negeri saya pada Isnin di Brussels,” beritahu Ayrault kepada saluran berita iTELE.

“Sekarang, kami tidak boleh menunggu lebih lama lagi,” tambah beliau, mengecam mereka yang “menghalang demi kepentingan mereka sendiri.”

Sekatan mungkin terdiri daripada pengharaman perjalanan ke EU dan pembekuan asset, dan mensasarkan speaker parlimen Libya, Aguila Saleh, serta Nuri Abu Sahmein daripada Kongres Agung Nasional yang berpangkalan di Tripoli dan ketuanya Khalifa Ghweil, kata satu sumber diplomatik Eropah.

Libya mempunyai parlimen dan kerajaan berasingan sejak 2014, selepas gabungan militia pimpinan Islamis menakluki Tripoli dan memaksa pentadbiran yang diiktiraf antarabangsa melarikan diri ke kawasan terpencil timur negara.

Para pelampau yang termasuk kumpulan Islamic State (IS) telah mengeksploitasi keadaan huru-hara tersebut, sekaligus menimbulkan kebimbangan mengenai para pejuang jihad menggunakan pantai Libya sebagai landas pelancaran untuk mencerobohi Eropah dan melancarkan serangan.

ARTIKEL YANG SAMA