Perancis cegah acara bersifat provokatif

Perancis cegah acara bersifat provokatif

MARSEILLE, 10 Ogos – Taman air Marseille telah membatalkan rancangan untuk mengadakan acara tertutup bagi wanita-wanita Islam yang mengenakan burqini iaitu pakaian renang muslimah, selepas ia mencetuskan kemarahan di Perancis yang sekular, menurut pihak berkuasa dan taman itu semalam.

“Taman Speedwater mahupun bandar Pennes-Mirabeau (pinggir bandar Marseille) tidak mahu menjadi tapak kekacauan awam,” menurut mereka dalam kenyataan bersama.

Acara itu adalah idea Smile 13, sebuah pertubuhan wanita yang memenuhi keperluan orang Arab di bandar pelabuhan selatan, yang penduduknya hampir dua juta termasuklah kira-kira 220,000 orang umat Islam, terutamanya berasal dari Algeria.

Pertubuhan itu tidak mengesahkan tempahannya atau membayar deposit bagi acara itu yang dijadualkan pada 10 September.

Ahli politik berhaluan kanan dan kiri membidas rancangan itu sebagai provokatif, dengan senator berhaluan kiri Michel Amiel, datuk bandar Pennes-Mirabeau, dengan mengatakan dia akan berusaha menegah acara itu.

“Kedudukan ideologi yang ekstrem mengambil kesempatan dari kontroversi berhubung acara ini untuk menangani konflik yang mana Taman Speedwater dan bandar Pennes-Mirabeau tidak ingin terlibat,” menurut kenyataan itu. Smile 13 berkata di lamannya di Facebook bahawa ia “terkejut dan sedih” dengan takat kontroversi itu.

Menurutnya ia telah menerima ancaman – termasuklah peluru yang dihantar kepadanya dalam mel dan telah memaklumkan Collective against Islamophobia di Perancis.

Taman air itu pada awalnya mengatakan ia ‘memahami’ mengapa rancangan itu ‘menjadi tumpuan media ketika tempoh sukar dari segi emosi’ selepas dua serangan pejuang jihad yang melanda Perancis bulan lalu, termasuklah serangan dengan sebuah lori yang mengorbankan 84 orang ketika mereka meraikan Hari Bastille di peranginan Nice, peranginan Riviera.

Tetapi taman air itu mengatakan sebagai syarikat swasta ia berhak untuk mengadakan acara tertutup. Pakaian Islamik adalah isu panas di Perancis yang mana tudung yang menutup muka ditegah di tempat-tempat awam. – AFP