Perancis dilanda protes petrol

Perancis dilanda protes petrol

PARIS, 23 Mei (AFP) – Kekurangan bekalan petrol mengakibatkan barisan panjang pemandu kereta di sebahagian Perancis hari ini, ketika pembantah berang ke atas reformasi buruh kerajaan menyekat beberapa buah kilang penapisan dan depot minyak negara.

Tindakan itu merupakan yang terbaru dalam tiga bulan mogok dan protes terhadap draf undang-undang yang melagakan kerajaan Sosialis dengan beberapa penyokong tradisionalnya dan ada kalanya bertukar ganas.

Sekitar 1,500 stesen petrol daripada sejumlah 12,000 di seluruh Perancis sama ada kehabisan bekalan petrol atau hampir habis bekalan, kata Menteri Pengangkutan Alain Vidalies.

Bahagian barat daya negara itu merupakan yang paling teruk terjejas pada hujung minggu. Ketika penghantaran semakin sedikit, pemandu dipaksa mencari stesen petrol yang belum lagi kehabisan bekalan.

Sebuah trak memasuki kilang penapisan ExxonMobil di Notre-Dame-de-Gravenchon, barat daya Perancis, susulan sekatan ke atas beberapa depot minyak oleh pembantah yang menentang draf undang-undang reformasi buruh kerajaan. – AFP
Sebuah trak memasuki kilang penapisan ExxonMobil di Notre-Dame-de-Gravenchon, barat daya Perancis, susulan sekatan ke atas beberapa depot minyak oleh pembantah yang menentang draf undang-undang reformasi buruh kerajaan. – AFP

Namun pihak berkuasa mengatakan situasi itu semakin diburukkan lagi oleh pemandu-pemandu yang berkejar untuk menyimpan stok kerana khuatir bekalan akan kehabisan.

Pihak berkuasa tempatan di beberapa kawasan mengenakan catuan bagi menjimatkan bekalan dan polis bertindak masuk ke dalam beberapa kilang penapisan dan depot minyak bagi sekatan pada hujung minggu.

“Lima daripada lapan kilang penapisan Perancis kini mogok, sama ada berhenti atau dalam proses penutupan,” kata pegawai dari Kesatuan CGT, Emmanuel Lepine memberitahu AFP.

ARTIKEL YANG SAMA