Perancis dilanda ribut, 70,000 rumah putus bekalan elektrik

Perancis dilanda ribut, 70,000 rumah putus bekalan elektrik

RENNES, Perancis, 20 Nov – Angin bertiup kencang bertukar kepada kekuatan taufan telah mengakibatkan hampir 70,000 buah rumah di barat dan barat laut Perancis terputus bekalan elektrik hari ini, kata grid elektrik kebangsaan Enedis.

Agensi kaji cuaca kebangsaan Meteo France berkata angin dengan kelajuan sehingga 160km sejam membadai semenanjung Breton dan pantai Normandy semalaman, dan dua rantau lain kekal di bawah amaran ribut.

Enedis berkata 33,000 buah rumah tanpa bekalan elektrik di Normandy, 18,700 di Brittany dan 16,500 di rantau Loire-Atlantique, yang terletak di selatan Brittany. Seorang wanita cedera parah di bahagian Cote d’Armor, Brittany apabila keretanya dihempap pokok tumbang, kata para pegawai tempatan.

Pasukan bomba di Brittany telah dihubungi lebih 600 kali sewaktu malam itu, terutamanya untuk membersihkan jalan-jalan yang tersekat, kata mereka.

Meteo-France berkata keadaan ribut di timur laut Atlantik telah bergabung dengan arus udara kuat yang menghala ke barat laut Perancis, menghasilkan ‘satu peristiwa yang berlaku tiga atau empat kali setahun’.

Agensi itu mengekalkan amaran angin kencang bagi tiga kawasan – yang secara kasarnya bersamaan dengan wilayah-wilayah – di barat laut, dan tiga lagi di tengah timur. Angin itu dijangka akan reda pada Isnin. – AP