Perancis haramkan alkohol di Lens

Perancis haramkan alkohol di Lens

LONDON, 25 Mei – Pihak berkuasa Perancis merancang melaksanakan larangan alkohol selama 24 jam di pusat Bandar Lens ketika kota itu menjadi tuan rumah bola sepak Euro 2016, bulan depan.

Penonton tanpa tiket juga digesa menjauhkan diri bandar kecil di utara Perancis itu, kata polis British semalam.

Lens bakal mengendalikan empat perlawanan Euro bulan depan, termasuk British Derby melawan England dan Wales dalam Kumpulan B.

Berikutan Ireland Utara turut layak menyertai perlawanan kali ini, polis British mengetatkan kawalan di seluruh Perancis untuk membantu negara itu serta beberapa bandar lain yang menjadi tuan rumah Euro 2016.

Pengharaman alkohol itu akan berlangsung selama 24 jam di Lens mulai jam 6 pagi pada 16 Jun ketika England bertemu Wales. Alkohol akan dijual di stadium tetapi tidak di bar dan kedai di pusat bandar itu.

Penolong Ketua Konstabel Mark Roberts, yang mengetuai kepolisan bola sepak di Britain, berkata bandar lain di seluruh Perancis juga boleh mengharamkan penjualan alkohol.

Wujud kebimbangan Lens mungkin dibanjiri peminat tanpa tiket kerana bandar ini mempunyai penduduk seramai 32,000 manakala Stade Bollaert-Delelis hanya mempunyai kapasiti 35,000.

“Saya rasa apa yang dikhuatiri Perancis adalah mereka tidak mahu berpuluh ribu peminat tanpa tiket tiba ke lokasi perlawanan yang tidak mampu menampung kapasiti mereka.

“Jadi mesej mereka kepada peminat adalah jika anda tidak ada tiket jangan datang ke sini,” katanya.

Dianggarkan 250,000 tiket sudah dijual kepada warga British namun polis menjangkakan antara 300,000 dan 500,000 orang akan menuju ke Perancis. – Agensi

ARTIKEL YANG SAMA