Perancis ke suku akhir

Perancis ke suku akhir

Oleh Adiman HT

LYON, Perancis, 26 Jun – Antoine Griezmann muncul wira Perancis apabila menjaringkan dua gol penting untuk membantu Perancis menewaskan Republik Ireland 2-1, sekali gus mara ke pusingan suku akhir kejohanan Euro 2016, sebentar tadi.

Perancis pada awalnya dikejutkan oleh Republik Ireland apabila baru sahaja pada minit ke-2 perlawanan, Republik Ireland diberikan sepakan penalti apabila Shane Long dijatuhkan oleh Paul Pogba di petak penalti, tendangan kemudian disempurnakan oleh Robert Brady yang merembat bola masuk ke tepi gawang.

Pasukan Perancis kemudian mula mengatur perlawanan untuk mengubah kedudukan, namun segala perancangan tidak menemui belakang gawang, keputusan kekal 1-0 sehingga separuh masa pertama berakhir.

Apabila babak kedua bermula, Perancis mula melakukan beberapa serangan berbahaya kepada pihak lawan dan pada minit ke-58 berjaya menembusi gawang Republik Ireland apabila hantaran lintang Bacary Sagna disambut baik oleh Antoine Griezmann yang menanduk bola masuk ke gawang menewaskan penjaga gol Darren Randolph.

Antoine Griezmann menanduk bola masuk bagi menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-58. – AFP
Antoine Griezmann menanduk bola masuk bagi menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-58. – AFP

UEFA-Euro-2016-Logo

Antoine Griezmann yang baru sahaja melanjutkan kontraknya bersama kelab Atletico Madrid hingga 2021 menambah lagi jaringan dalam masa tiga minit apabila menerima hantaran melalui tandukan bola Olivier Giroud yang kemudian terus merembat bola dari petak D terus memasuki gawang lawan.

Ancaman Griezmann mula dirasai pemain Republik Ireland apabila pada minit ke-66 sekali lagi mendapat peluang untuk menjaringkan gol melepasi benteng pertahanan Ireland di mana pemain pertahanan Shane Duffy buntu tanpa sebarang pilihan lain membuat keputusan menjatuhkan Griezmann di hujung petak D yang kemudian dilayangkan kad merah.

Sepakan percuma kemudian diambil oleh Perancis yang hanya disia-siakan apabila bola melambung ke belakang padang. Republik Ireland yang terpaksa bermain 10 orang cuba sedaya upaya untuk merapatkan jurang perlawanan di samping menghalang serangan-serangan Perancis, namun gagal mengubah kedudukan, dan keputusan 2-1 kekal hingga ke wisel penamat.