Perancis mahu adil terhadap pengeluar minyak sawit, soya

Perancis mahu adil terhadap pengeluar minyak sawit, soya

KUALA LUMPUR, 19 Julai – Kerajaan Perancis lebih berpendirian untuk memberi layanan adil terhadap kalangan pengeluar minyak sawit serta minyak soya.

Kenyataan oleh Duta Perancis ke Malaysia, Christophe Penot itu sebagai mengulas bantahan disuarakan Indonesia dan Malaysia yang juga pengeluar minyak sawit mentah (MSM) terbesar dunia, berhubung hasrat negara Eropah itu untuk mengenakan cukai tambahan ke atas import MSM dan produk lain berasaskannya menjelang 2017.

Namun, buat masa ini, kata Penot, Parlimen Perancis memutuskan untuk tidak mengenakan cukai import terhadap minyak sawit berkenaan. Jelasnya, kerajaannya akan turut meneliti cadangan baharu membabitkan semua jenis minyak sayuran.

“Ini berikutan wujudnya beberapa isu kerana minyak zaitun misalnya dikenakan cukai tinggi sedangkan minyak sawit dan soya pula sebaliknya,” katanya kepada Bernama. Menurut Penot, dalam masa dua bulan ini, Perancis akan memulakan usul untuk memperakui produk-produk yang dihasilkan mengikut kaedah lestari yang tidak akan dikenakan cukai.

Malah, usul itu akan turut dibentangkan di Parlimen. “Sehubungan itu, kami menggalakkan Malaysia dan Indonesia untuk mengeluarkan lebih banyak minyak sawit lestari. Ini salah satu isu yang sedang kami usahakan dengan kerajaan Malaysia iaitu pengeluaran minyak sawit berteraskan kaedah lestari.

“Cadangan baharu ini adalah adil dan tidak bersifat diskriminasi terhadap minyak sawit berbanding minyak lain,” katanya.

Penot berkata, sebaik diluluskan Parlimen Perancis sama ada pada September atau Oktober ini, ia akan dikuatkuasakan dalam tempoh enam bulan berikutnya.

“Buat masa ini tiada sebarang perubahan dan kami turut bekerjasama erat dengan kerajaan Malaysia berhubung perkara itu,” katanya.

Kerajaan Perancis sebelum ini berhasrat mengenakan cukai tambahan terhadap import MSM atas alasan untuk mengurangkan masalah pemusnahan hutan serta melindungi rakyat Perancis daripada kesan buruk kesihatan akibat pengambilan minyak itu. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA