Perancis punya kelebihan tempat sendiri

Perancis punya kelebihan tempat sendiri

Bersama Awang Abdul Majid Alias

Oleh Mohamad Asyramisyanie

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Jun – Kejohanan bola sepak negara-negara Eropah bakal membuka tirainya awal pagi ini dengan menyaksikan perlawanan antara tuan rumah Perancis menentang pasukan Romania setelah acara pembukaan rasminya berlangsung beberapa jam sebelum perlawanan pembukaan bermula.

Ketika ditemui, peminat bola sepak tempatan dan penganalisis sukan bola sepak tempatan Awang Abdul Majid Alias menegaskan perlawanan pembukaan menyaksikan kali ketiga kedua-dua pasukan bertemu di persada EURO sejak penubuhannya pada tahun 1960.

Kali pertama perlawanan berpihak kepada pasukan Perancis dan kali kedua pasukan Romania berjaya mengikat kedudukan untuk pulang bersama satu mata dan pastinya pertemuan kali ini akan lebih menarik apabila Perancis bermain di tempat sendiri.

“Bagi pasukan Perancis, mereka lebih bersemangat apatah lagi apabila menjadi tuan rumah kepada pesta bola sepak terbesar seperti piala dunia dan yang lebih menarik adalah sebilangan besar pasukan Perancis akan dibarisi pemain yang bermain di dalam liga perdana Inggeris,” ujarnya.

Menurutnya, Perancis mempunyai rangkaian pemain tengah yang berkaliber namun apa yang menjadi kebimbangan pasukan berkenaan ialah bahagian pertahanannya yang sedikit goyang meskipun serangan pasukan itu sememangnya digeruni pasukan lawan termasuk di dalam liga-liga utama di Eropah.

Awang Abdul Majid ketika ditemui.
Awang Abdul Majid ketika ditemui.

Menurutnya, kita mungkin akan melihat bintang-bintang baru Perancis lahir daripada kejohanan kali ini namun pada masa yang sama kita juga akan menyaksikan pemain Romania akan sedaya upaya bertahan dan menghidu sebarang kesilapan untuk mendapatkan peluang jaringan.

Mengulas mengenai corak permainan pula, beliau menjangkakan barisan bintang akan menerajui pasukan Perancis untuk meraih kemenangan dan menurutnya ramai yang berpendapat Perancis sangat bernasib baik untuk berada dalam Kumpulan A yang dianggap sebagai kumpulan terlemah dalam kejohanan kali ini.

“Perancis pastinya akan menggunakan kelebihan ini untuk meraih kemenangan dan seterusnya melangkah ke peringkat seterusnya sebelum berhadapan pasukan yang hebat bermula pada peringkat suku akhir dan ke atas,” ujarnya.

Menurutnya lagi, pengurus pasukan Perancis pastinya mempunyai inspirasi yang tinggi bagi anak-anak didiknya kerana beliau sendiri adalah seorang pemain dan warga Perancis yang bersikap patriotik dan pastinya akan memberikan impak kepada corak perlawanan pembukaan awal pagi hari ini nanti.

Menjawab soalan media mengenai jangkaan gol perlawanan pembukaan hari ini beliau menjangkakan kemenangan berpihak kepada pasukan Perancis dengan jaringan 2-0 atau 3-1 dengan satu gol dari titik penalty.