Perancis rancang lanjut perintah darurat

Perancis rancang lanjut perintah darurat

PARIS, 21 April – Perancis merancang melanjutkan perintah darurat yang diisytiharkan selepas serangan bom di bandar raya ini bagi memastikan keselamatan Euro 2016 dan Tour de France, kata Perdana Menteri, Manuel Valls.

Langkah memperketatkan sistem keselamatan itu dikenakan berikutan siri serangan bom berani mati dan tembakan di ibu kota Perancis pada November tahun lalu yang menyebabkan 130 orang terbunuh, dan ia sudah pun dilanjutkan selama tiga bulan daripada Februari sehingga 26 Mei.

Valls berkata, Menteri Dalam Negeri Bernard Cazeneuve sedia membuat kertas cadangan kepada Kabinet yang kemudiannya akan diusulkan ke Parlimen untuk diundi. “Keadaan darurat tidak boleh dikekalkan, tetapi untuk acara besar seperti ini… kami perlu menggunakan kuasa ini, kemungkinan di bawah kuasa hakim negara, di bawah kuasa parlimen dalam usaha membanteras pengganas,” kata Valls kepada radio Perancis.

Kedua-dua acara itu bertindih pada tarikh yang sama, dengan Euro 2016 akan mula berlangsung daripada 10 Jun hingga 10 Julai, manakala Tour de France dijadualkan pada 2 hingga 24 Julai. “Kami akan mengemukakan cadangan untuk melanjutkan (perintah darurat) untuk tempoh selama dua bulan bermula hujung Mei,” katanya. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA