Perancis sedia benam ‘pembunuh gergasi’

Perancis sedia benam ‘pembunuh gergasi’

PARIS, 3 Julai – Tuan rumah, Perancis menumpukan fokus kepada tempat di separuh akhir Euro 2016 tetapi mereka perlu berhati-hati daripada menjadi mangsa kepada satu lagi pasukan pembunuh gergasi, Iceland pada suku akhir, awal pagi esok, waktu Malaysia.

Skuad Didier Deschamps akan turun pada perlawanan lapan terakhir di Stade de France sebagai pasukan pilihan berdepan negara yang hanya memiliki 330,000 penduduk dengan pemenang bakal bertemu Jerman di separuh akhir.

Namun, Iceland sudah membuktikan keupayaan mereka selepas mengejutkan England dalam saingan 16 terakhir, bangkit daripada ketinggalan untuk menang 2-1 di Nice.

“Ia bukan secara kebetulan Iceland berjaya mara,” kata penjaga gol Perancis dan ketua pasukan, Hugo Lloris.

“Iceland memiliki permainan yang hebat sejak dari awal kejohanan ini. Kami lebih menghormati Iceland, kami menonton persembahan hebat mereka menentang England dan kami tidak terkejut.”

Jurulatih penjaga gol Perancis, Franck Raviot, penjaga gol Perancis, Hugo Lloris, ketua jurulatih Perancis, Didier Deschamps dan penolong jurulatih Guy Stephan tiba untuk sesi latihan di Clairefontaine-en-Yvelines, barat daya Paris, pada 2 Julai menjelang perlawanan suku akhir bola sepak Euro 2016 antara Perancis dan Iceland. - AFP
Jurulatih penjaga gol Perancis, Franck Raviot, penjaga gol Perancis, Hugo Lloris, ketua jurulatih Perancis, Didier Deschamps dan penolong jurulatih Guy Stephan tiba untuk sesi latihan di Clairefontaine-en-Yvelines, barat daya Paris, pada 2 Julai menjelang perlawanan suku akhir bola sepak Euro 2016 antara Perancis dan Iceland. – AFP

Perancis meledak gol pada lewat permainan untuk mengatasi Romania dan Albania di peringkat kumpulan, manakala Antoine Griezmann muncul penyelamat Les Bleus ketika mereka bangkit dari ketinggalan menentang Republik Ireland pada pusingan 16 terakhir.

Adil Rami berdepan penggantungan dan Deschamps dijangka menurunkan pemain berusia 22 tahun Barcelona, Samuel Umtiti yang akan melakukan penampilan antarabangsa pertamanya bersama Laurent Koscielny di bahagian pertahanan.

N’Golo Kante juga menjalani penggantungan satu perlawanan dengan Kingsley Coman, Moussa Sissoko dan Yohan Cabaye antara calon yang bakal menggantikan pemain tengah Leicester City itu.

Semua tekanan kini pada tuan rumah kerana mereka menyasarkan untuk mengulangi kejayaan Euro 1984 dan Piala Dunia 1998 dengan memenangi kejohanan utama di tempat sendiri, manakala Iceland pula bakal turun dengan semangat untuk menikmati permainan mereka. – AFP