Perancis, Switzerland dalam laluan pusingan seterusnya

Perancis, Switzerland dalam laluan pusingan seterusnya

PARIS, 15 Jun (AFP) – Salah satu pasukan pilihan, Perancis boleh mengesahkan tempat mereka ke pusingan kalah mati apabila bertemu Albania dalam aksi Kumpulan A di Marseille awal pagi nanti.

Switzerland yang turut memenangi aksi pertama mereka juga berpeluang mara ke kelompok 16 terakhir dengan kemenangan ke atas Romania di Paris, sementara Russia dan Slovakia pula bakal bertemu di Lille.

Jaringan menakjubkan Dimitri Payet pada minit ke-89 membolehkan ‘Les Bleus’ meraih kemenangan 2-1 ke atas Romania namun pemain tengah, Blaise Matuidi mengakui mereka tidak boleh memandang rendah keupayaan Albania meskipun mereka dilihat sebagai pendatang baru pada Euro 2016.

“Kami cukup kenal pasukan Albania. Kami tidak mencatat keputusan yang baik dalam beberapa perlawanan terakhir menentang mereka,” kata Matuidi menerusi laman web rasmi Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA).

Perancis diikat 1-1 oleh Albania pada November 2014 sebelum tewas 1-0 tahun lalu.

Pasukan Perancis mengadakan latihan sebelum perlawanan bermula. – AFP
Pasukan Perancis mengadakan latihan sebelum perlawanan bermula. – AFP

UEFA-Euro-2016-Logo

“Pastinya ia satu perlawanan yang sukar. Kami melihat mereka masih mencipta peluang dengan baik walaupun beraksi dengan 10 pemain ketika menentang Switzerland.

“Apapun, tiga mata yang diraih daripada kemenangan ke atas Romania sedikit sebanyak melegakan kami,” katanya.

Perancis perlu mengharapkan pemain tengah, Paul Pogba supaya memperagakan aksi lebih baik selepas persembahan hambar yang ditunjukkan ketika menentang Romania.

Pogba direhatkan pada perlawanan kedua Perancis di Piala Dunia 2014 namun pengendalinya, Didier Deschamps enggan mengulas lanjut sama ada situasi sama bakal berulang di Stade Velodrome awal pagi nanti.

ARTIKEL YANG SAMA