Perancis tingkatkan keselamatan Euro 2016

Perancis tingkatkan keselamatan Euro 2016

PARIS, 28 April – Menteri Sukan Perancis, Patrick Kanner, semalam mengumumkan sebanyak 24 juta euro disediakan untuk meningkatkan sistem keselamatan di setiap kawasan tumpuan peminat pada Euro 2016.

Kawasan tumpuan peminat itu dijangka dihadiri antara tujuh atau lapan juta penyokong di 10 bandar seluruh negara ini yang akan menjadi tuan rumah Kejohanan Eropah dari 10 Jun hingga 10 Julai.

Kanner memberitahu Dewan Negara Perancis, perjanjian untuk menyediakan pembiayaan sudah ditandatangani di sini pada pagi Rabu di hadapan bekas Perdana Menteri Perancis, Alain Juppe yang kini menjadi presiden bandar tuan rumah, dan ketua jawatankuasa penganjuran, Jacques Lambert.

Kanner berkata, bajet awal untuk meningkatkan sistem keselamatan di kawasan tumpuan peminat adalah 10 hingga 12 juta euro tetapi meningkat kepada 24 juta euro.

Katanya, satu perjanjian sudah dicapai antara beberapa bandar tuan rumah, kerajaan Perancis dan UEFA untuk membiayai kos tambahan.

Kawasan tumpuan peminat semakin menjadi tempat penting pada pertandingan sukan utama dalam beberapa tahun kebelakangan ini, tetapi keselamatan menjadi kebimbangan utama kepada pihak berkuasa di Perancis di saat ancaman keganasan yang tinggi.

Perancis dalam tempoh berjaga-jaga sejak 130 orang terbunuh dan ramai yang cedera ketika serangan pengganas November lalu di sekitar Paris. – AFP