Perang mulut semakin menjadi-jadi

Perang mulut semakin menjadi-jadi

MANILA/BEIJING, 29 Jun (Reuters) – China hari ini menuduh Filipina menyebarkan maklumat salah dan “mewujudkan ilusi mangsa” dalam pertikaian mereka berhubung Laut China Selatan, selepas Manila menyiarkan sebuah dokumentari tiga bahagian, yang mempertahankan pendiriannya.

Bahagian pertama dokumentari berturut-turut itu berjudul “Karapatan sa Dagat” atau hak maritim, telah disiarkan ketika Filipina menyambut Hari Kemerdekaan pada 12 Jun.

“Filipina cuba mengelirukan dan memperdaya, meraih simpati dengan menipu dan mewujudkan ilusi ‘mangsa’,” jurucakap Kementerian Luar China, Hua Chunying berkata dalam satu kenyataan di laman sesawang kementerian itu.

Beliau menuduh Filipina bertujuan mengapi-apikan rakyat kedua-dua negara.

Perang mulut antara Filipina dan China berhubung pertikaian Laut China Selatan telah semakin menjadi-jadi dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Gambar fail dirakam pesawat pengawasan Amerika Syarikat, P-8A Poseidon, menunjukkan sebahagian kawasan perairan gugusan Pulau Spratly di Laut China Selatan. – Reuters
Gambar fail dirakam pesawat pengawasan Amerika Syarikat, P-8A Poseidon, menunjukkan sebahagian kawasan perairan gugusan Pulau Spratly di Laut China Selatan. – Reuters

Minggu lalu, seorang jurucakap Kementerian Pertahanan menuduh Filipina cuba melibatkan negara-negara lain ke dalam pertikaian untuk mencetuskan ketegangan serantau, selepas Jepun menyertai latihan ketenteraan dengan Filipina.

Filipina berkata dokumentari itu bertujuan memberitahu rakyatnya dan untuk mendapatkan sokongan orang awam di sebalik dasar dan tindakan kerajaan.

Kenyataan Hua menambah : “China dan Filipina adalah rakan lama dan negara berjiran yang baik dan telah menunjukkan bahawa mereka dapat sepenuhnya menangani isu Laut China Selatan dengan teratur menerusi rundingan ramah.”

China semakin bersikap pendesak di Laut China Selatan yang kaya dengan hasil tenaga, membina kepulauan-kepulauan tiruan di kawasan-kawasan yang juga dituntut oleh Filipina dan negara-negara lain. Langkah itu mencetuskan rasa cemas di rantau itu dan di Washington.

Menteri Luar China, Wang Yi berkata Sabtu lalu bahawa jika China menukar pendiriannya tentang tuntutan berhubung Laut China Selatan, itu akan mengaibkan leluhurnya, sementara tidak menyalahi kedaulatan China di sana, itu akan mengaibkan anak-anaknya.