Perang proksi Saudi-Iran atas Syria merebak ke Davos

Perang proksi Saudi-Iran atas Syria merebak ke Davos

DAVOS, Switzerland, 24 Jan – Pegawai kanan Saudi dan Iran bertelingkah di sebalik pintu tertutup pada satu mesyuarat persendirian yang dianjurkan oleh Forum Ekonomi Dunia di Davos pada minggu ini untuk mempromosi keamanan di Syria, kata peserta.

Perbalahan di antara Putera Saudi Turki al-Faisal dan Menteri Luar Iran Javad Zarif pada satu mesyuarat pada Rabu menekankan persengketaan di antara dua negara Teluk, yang sedang melancarkan perang proksi di Syria, Yaman dan Iraq.

Riyadh memutuskan hubungan diplomatik dan memutuskan hubungan perdagangan dan pengangkutan dengan Tehran dua minggu lalu selepas pembantah menyerbu kedutaan Saudi di Iran. Bantahan meletus ekoran pelaksanaan hukuman mati seorang ulama Syiah oleh Saudi yang membangkitkan kemarahan penduduk Syiah Iran.

Perbalahan itu memaparkan beberapa sebab kenapa rundingan perdamaian yang disokong oleh AS-Rusia mengenai Syria mungkin tidak bermula seperti yang dirancang di Geneva pada minggu depan.

Tidak adanya perjanjian mengenai siapa yang harus mewakili penentang kerajaan Syria, dan pemberontak yang disokong Riyadh menuntut Rusia terlebih dahulu menghentikan serangan udara di Syria. – Reuters