Perang tidak menyasarkan agama tertentu

Perang tidak menyasarkan agama tertentu

KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) – Presiden Barack Obama berkata walaupun Amerika Syarikat akhirnya akan mengalahkan militan IS dan “ideologi putar belitnya”, tetapi peperangan terhadap keganasan tidak ditujukan terhadap sebarang agama tertentu.

“Amerika Syarikat tidak boleh memerangi mana-mana agama kerana rakyatnya sendiri terdiri daripada pelbagai agama, yang sejak sekian lama telah mengukuhkan kedudukannya,” katanya pada sidang media sebelum berlepas pulang ke tanah air setelah menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di sini hari ini.

“Kami tidak akan berundur kerana takut atau bergaduh sesama sendiri atau melayan seseorang dengan cara berbeza kerana agama, bangsa atau latar belakang mereka. Ia mengkhianati nilai kami dan menguntungkan propaganda IS.

“Kami perlu menafikan dengan sepenuhnya bahawa kami memerangi sesuatu agama secara menyeluruh. Amerika Syarikat tidak akan berperang dengan mana-mana agama secara khusus kerana ia mempunyai pelbagai agama. Kami diperkukuhkan oleh rakyat daripada setiap agama, termasuk umat Islam Amerika,” jelas beliau.

Barack Obama ketika berucap pada sidang media bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 di Kuala Lumpur. - Bernama
Barack Obama ketika berucap pada sidang media bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 di Kuala Lumpur. – Bernama

Obama menegaskan bahawa Amerika Syarikat akan terus bekerjasama dengan sekutunya di seluruh dunia – dari Perancis hinggalah ke negara di rantau ini, termasuk Malaysia – untuk memerangi dan mengalahkan IS, yang baru-baru ini mendakwa bertanggungjawab terhadap serangan ganas di Paris pada 13 Nov, yang mengorbankan 127 orang.

Menyifatkan kumpulan ganas itu sebagai ‘sekumpulan pembunuh’, Obama berkata IS tidak akan berjaya menyemai perasaan takut dalam minda manusia atau menjadikan manusia lupa kepada nilai-nilai yang menjadi pegangan mereka.

“Prejudis dan diskriminasi membantu IS serta melemahkan nilai kita. Kita tidak boleh mengalahkan kepadanya,” kata presiden itu.

Beliau menegaskan lagi bahawa Amerika Syarikat dan sekutunya akan bersama-sama berusaha menyekat pembiayaan untuk kumpulan pengganas itu, memburu pemimpinnya serta melumpuhkan rangkaian dan saluran bekalan mereka.