Perangi jenayah rentas sempadan

Perangi jenayah rentas sempadan

PUTRAJAYA, 30 Okt (Bernama) – Malaysia dan Singapura amat mementingkan kerjasama dalam bidang keselamatan khususnya bagi memerangi ancaman jenayah rentas sempadan di rantau ini.

Komitmen itu dinyatakan dalam pertemuan antara Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Luar Singapura Dr. Vivian Balakrishnan di Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.

Ini merupakan kunjungan hormat pengenalan Balakrishnan ke atas Ahmad Zahid bersempena lawatan kerja yang pertama beliau ke Malaysia mulai semalam setelah memegang jawatan Menteri Luar Singapura pada 1 Okt lalu.

Dalam pertemuan kira-kira 30 minit itu, Balakrishnan diiringi Pesuruhjaya Tinggi Singapura di Malaysia, Vanu Gopala Menon. Turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri bersempena lawatan itu, sebagai negara anggota ASEAN dan Pertubuhan Bangsa Bersatu, Malaysia dan Singapura akan bekerjasama dan komitmen di peringkat serantau dilaksanakan berdasarkan beberapa platform.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kiri) menerima kunjungan hormat Dr. Vivian Balakrishnan di Kementerian Dalam Negeri di Kuala Lumpur semalam. - Bernama
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kiri) menerima kunjungan hormat Dr. Vivian Balakrishnan di Kementerian Dalam Negeri di Kuala Lumpur semalam. – Bernama

Antara platform itu ialah Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Jenayah Rentas Sempadan, Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Dadah, Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan dan Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN Mengenai Dadah.

Menurut kenyataan itu, dalam aspek hubungan dua hala, Malaysia dan Singapura telah menandatangani satu memorandum persefahaman (MoU) Kerjasama Mengenai Dadah dalam bidang keselamatan pada tahun 2012.

“Di bawah MoU tersebut, satu Jawatankuasa Kerja telah ditubuhkan melibatkan pegawai-pegawai kanan kedua-dua negara untuk membincangkan mengenai kerjasama menangani masalah penyalahgunaan dadah”.