Perangi rasuah secara menyeluruh

Perangi rasuah secara menyeluruh

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Dis – Undang-undang dan penguatkuasaan secara berkesan di samping dengan pencegahan dan pendidikan amat penting ke arah usaha memerangi gejala rasuah.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Haji Hamdan bin Haji Abu Bakar menegaskan, undang-undang bagi kesalahan rasuah harus diteliti dari semasa ke semasa bagi memastikan ia kekal relevan dan boleh diguna pakai.

Menurut beliau, usaha mencegah dan memerangi rasuah memerlukan tindakan strategik dan holistik antara pihak-pihak berkaitan. Kejayaannya secara berkesan bergantung kepada tindakan bersepadu semua pihak meliputi sektor awam dan sektor swasta serta kerjasama dan komitmen semua organisasi, institusi belia dan masyarakat.

Katanya, inilah kunci utama ke arah merealisasikan hasrat negara untuk melakar masa depan yang tidak bertolak ansur terhadap jenayah rasuah.

Dato Paduka Haji Hamdan menyatakan perkara ini ketika berucap di Majlis Perasmian Mesyuarat Negara Anggota Asia Tenggara Memerangi Rasuah (SEA-PAC) kali ke-11 anjuran Biro Mencegah Rasuah (BMR) yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di Gadong, hari ini.

Dato Paduka Haji Hamdan ketika berucap merasmikan Mesyuarat SEA-PAC ke-11 yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di Gadong, kelmarin. – Gambar Azrol Azmi
Dato Paduka Haji Hamdan ketika berucap merasmikan Mesyuarat SEA-PAC ke-11 yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di Gadong, kelmarin. – Gambar Azrol Azmi

Beliau seterusnya menyentuh mengenai Laporan World Bank Group, bertajuk ‘The Cost of Corruption,’ yang mana pada tahun 2013 dianggarkan bahawa jumlah rasuah yang dibayar dalam negara membangun dan negara-negara maju berjumlah AS$1 trilion atau 3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global.

Katanya, itulah jumlah besar wang rasuah, mengambil pelbagai bentuk rasuah bukan sahaja antara sektor swasta tetapi juga yang diterima oleh ahli rasuah sektor awam.

“Saya percaya bahawa tidak ada perbezaan dibuat dengan rasuah kecil atau besar, memerangi rasuah hendaklah dibuat secara menyeluruh. Oleh itu, mengambil undang-undang dan penguatkuasaan yang berkesan dilengkapi dengan pencegahan serta pendidikan adalah penting dalam memerangi dan mencegah jenayah ini,” ujarnya lagi.

Terdahulu Setiausaha Tetap (Undang-undang dan Kesejahteraan), di Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Haji Mohd Juanda bin Haji A. Rashid yang juga selaku Pengarah Biro Mencegah Rasuah dalam ucapannya menjelaskan hampir seperlima penduduk dunia berumur antara 15 dan 24 tahun generasi muda berpotensi untuk menghalang gejala rasuah selaku rakyat pada hari ini dan selaku pemimpin pada hari esok.

Di majlis tersebut diadakan perbincangan oleh dua orang ahli panel, terdiri daripada Ketua Pegawai Integriti Petroleum Nasional Berhad Malaysia dan Penolong Pengarah Hubungan Masyarakat Suruhanjaya Bebas Terhadap Rasuah Hongkong, Republik Rakyat China.

Kedua-dua ahli panel antaranya membincangkan pentingnya pendidikan moral pada peringkat awal usia serta langkah pencegahan rasuah dalam kalangan belia-belia.

Mesyuarat yang diadakan selama tiga hari itu dipengerusikan oleh Dato Paduka Haji Mohd Juanda dan akan membincangkan beberapa perkara yang berhubung kait dengan strategi dan amalan-amalan terbaik dalam langkah pencegahan rasuah menerusi pendidikan dan penglibatan belia.

SEA-PAC ini dilaksanakan berdasarkan Artikel 48 Undang-undang Penguatkuasaan Kerjasama Konvensyen Bangsa-bangsa Bersatu Menentang Rasuah (UNCAC).

Artikel tersebut menyatakan bahawa, ‘pihak negeri hendaklah bekerjasama rapat dengan satu sama lain, selaras dengan sistem undang-undang dan pentadbiran negeri masing-masing untuk meningkatkan keberkesanan tindakan penguatkuasaan undang-undang untuk memerangi kesalahan di bawah konvensyen itu.

Mesyuarat tersebut menyediakan satu platform untuk ahli-ahli SEA-PAC berkongsi dan mempelajari amalan terbaik yang diguna pakai oleh agensi-agensi anti rasuah dan meneroka cara-cara terbaru dan inovatif dalam menyemai budaya hidup berintegriti dan moral yang tinggi dalam kalangan belia serta masyarakat untuk mencegah mereka daripada jatuh ke dalam ancaman rasuah.

Negara Brunei Darussalam telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Kerjasama Pencegahan Rasuah dan Pembasmian dengan agensi-agensi anti rasuah dari Malaysia, Singapura dan Indonesia pada 15 Disember 2004.

Hari ini, MOU tersebut telah diperluaskan kepada agensi pencegahan rasuah dari 10 buah negara ASEAN.

SEA-PAC telah ditubuhkan dengan objektif untuk mewujudkan dan mengukuhkan kerjasama terhadap rasuah dalam kalangan agensi anti rasuah dan untuk meningkatkan kapasiti dan pembangunan institusi dalam kalangan agensi anti rasuah dalam mencegah dan memerangi rasuah.

ARTIKEL YANG SAMA