Perangkaan pencari kerja menurun

Perangkaan pencari kerja menurun

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Okt – Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE) telah menyediakan perangkaan pencari kerja tempatan secara bulanan yang bertujuan untuk memberikan anggaran terkini bilangan berserta profil mengenai rakyat Brunei dan penduduk tetap yang berumur di antara 18 hingga 59 tahun yang tidak mempunyai pekerjaan dan sedang aktif mencari pekerjaan atau diistilahkan sebagai penganggur.

Menurut kenyataan JPKE hari ini, bagi bulan Ogos tahun ini, bilangan penduduk yang menganggur dalam kalangan penduduk tempatan (rakyat Brunei dan penduduk tetap) yang berumur 18 hingga 59 tahun telah menurun dari 14, 257 orang pada bulan Julai 2015 kepada 12,524 orang pada bulan Ogos lalu.

Dari jumlah tersebut 8,253 orang (66 peratus) tinggal di Daerah Brunei dan Muara; 7,015 orang (56 peratus) adalah terdiri daripada perempuan; 6,661 orang (53 peratus) berumur di antara 20 hingga 29 tahun dan 8,064 orang (64 peratus) mempunyai taraf pendidikan tertinggi di peringkat menengah.

Perubahan ini adalah disebabkan oleh pengurangan seramai 1,949 orang iaitu terdiri daripada seramai 484 orang sudah mendapat pekerjaan, 183 orang melanjutkan pengajian, sementara itu 1,282 orang lagi tidak berminat mencari pekerjaan dan sebagainya, walaupun terdapatnya penambahan seramai 216 orang yang baru mendaftar sebagai pencari kerja.

Sebarang pertanyaan mengenai Perangkaan Pencari Kerja Tempatan bolehlah dirujuk ke JPKE dengan menghubungi talian 2230250 atau 2233344 semasa waktu pejabat atau melayari laman sesawang ‘www.depd.gov.bn’ atau menghantar e-mel ke ‘info.statistics@jpke.gov.bn’.

ARTIKEL YANG SAMA