Perantau terubat kerinduan

Perantau terubat kerinduan

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 11 Julai – Dengan teknologi canggih masa kini, seperti panggilan video Skype dapat sedikit sebanyak mengubat kerinduan terhadap orang tersayang yang berada jauh di perantauan terutamanya para pelajar yang melanjutkan pelajaran di luar negara.

Dengan hasrat itu, Perkhidmatan Radio Cawangan Belait telah memanfaatkan perkhidmatan Skype berkenaan untuk mendekatkan pelajar-pelajar yang sedang menuntut di luar negara dengan suasana kesibukan malam Hari Raya Aidilfitri menerusi rancangan yang telah disiarkan secara langsung pada malam raya, minggu lalu.

Penyelia Rancangan Radio Daerah Belait, Dayang Naemah binti Awang, memberitahu Media Permata, suasana menyambut hari raya di tanah air sendiri dapat dirasakan oleh sebahagian pelajar-pelajar yang sedang menuntut di New Zealand, Jordan, Australia, United Kingdom dan Paris yang disiarkan melalui Studio Radio di Daerah Belait.

Menurutnya, rancangan ter-sebut yang disiarkan secara langsung pada malam Hari Raya tahun ini disiarkan di rangkaian Nasional FM dan Pilihan FM. Menerusi rancangan itu, pasukan Produksi Radio berinteraksi dengan Studio Nasional Bandar Seri Begawan bersama pelajar-pelajar di seberang laut dengan menggunakan Skype.

Pelajar-pelajar yang menuntut di New Zealand,semasa siaran langsung menggunakan Skype pada malam Hari Raya Aidil fitri.
Pelajar-pelajar yang menuntut di New Zealand,semasa siaran langsung menggunakan Skype pada malam Hari Raya Aidil fitri.

Dalam kesempatan ran-cangan tersebut, kedua-dua belah pihak, iaitu pelajar-pelajar seberang laut dan Pasukan Produksi Radio telah bertukar-tukar suasana Sambutan Hari Raya, di tempat mereka berada.

“Biarpun terdapat perbezaan waktu antara kita di Negara Brunei Darussalam, dengan pelajar-pelajar berkenaan yang berada di perantauan tetapi ianya tidak menjadi halangan kerana para pelajar tidak mahu melepaskan peluang untuk mengungkapkan rasa kerinduan mereka kepada sanak saudara, terutama ibu bapa mereka yang berada di tanah air mereka,” katanya.

Program tersebut telah diadakan lima tahun berturut-turut semasa Sambutan Hari Raya Aidilfitri dengan hasrat untuk membantu meringankan sedikit rasa kerinduan pelajar-pelajar yang berada di seberang laut, dan turut menggembirakan mereka yang jauh daripada keluarga.

Ia juga diharapkan supaya dapat mengubat kerinduan keluarga para pelajar berkenaan yang berada di tanah air, melalui program interaksi yang disiarkan secara langsung itu.

ARTIKEL YANG SAMA