Perarakan jasad Raja Thailand

Perarakan jasad Raja Thailand

BANGKOK, 14 Okt – Perarakan membawa jasad Raja Bhumibol Adulyadej dari Hospital Siriraj ke Grand Palace bermula petang ini.

Perarakan itu melalui jambatan Arun Amarin dan Phra Pinklao sebelum berarak ke jalan Ratchadamnoen untuk ke Grand Palace, memasuki istana itu menerusi Thevapirom Gate.

Orang ramai menyaksikan perarakan itu di sepanjang laluan yang ditetapkan dan dinasihatkan untuk memakai pakaian hitam sebagai tanda berkabung dan menghormati kemangkatan raja, kata Biro Isi Rumah Diraja.

Hari ini merupakan cuti umum di Thailand, menurut kerajaan itu.

Sementara itu, Polis Metropolitan Bangkok dalam satu kenyataan berkata, beberapa jalan telah ditutup kepada orang awam bagi memberi laluan kepada perarakan itu ke Istana Diraja dengan lancar.

Satu konvoi diraja termasuk van (depan), membawa jasad Raja Bhumibol Adulyadej, dari Hospital Siriraj ke Grand Palace dalam perarakan yang diketuai oleh anaknya dan pewaris Putera Mahkota Vajiralongkorn di Bangkok, Thailand, kelmarin. – AP
Satu konvoi diraja termasuk van (depan), membawa jasad Raja Bhumibol Adulyadej, dari Hospital Siriraj ke Grand Palace dalam perarakan yang diketuai oleh anaknya dan pewaris Putera Mahkota Vajiralongkorn di Bangkok, Thailand, kelmarin. – AP

Terdahulu, pada sebelah pagi, sebilangan besar rakyat Thai hadir ke upacara khas di hadapan imej mendiang raja berkenaan di pavilion Sala Sahathai Samakhom di dalam Grand Palace.

Upacara khas itu bermula pagi tadi dan berakhir tengah hari tadi.

Raja Bhumibol, 89, yang menduduki takhta selama 70 tahun, mangkat pada pukul 3:52 petang semalam di Hospital Siriraj semasa menerima rawatan pelbagai penyakit di hospital itu.

Keadaan kesihatan raja paling lama bersemayam di dunia itu kurang baik selama beberapa tahun.

Putera Mahkota Maha Vajiralongkorn, 54, anak kedua mendiang raja dan satu-satunya putera daripada empat beradik dijangka menaiki takhta sebagai Raja Thai yang baharu.

Baginda dilantik sebagai pewaris takhta sejak 1972 pada usia 20 tahun. – Bernama