Perasaan berbaur kendali Makkah Metro

Perasaan berbaur kendali Makkah Metro

KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) – Perasaan Mohamad Fauzi Abdul Manap, 37, bercampur baur antara bimbang dan gembira untuk memulakan tugas sebagai Ketua Stesen Arafah 2 bagi perkhidmatan tren Makkah Metro mulai esok.

Pengurus Stesen LRT Taman Melati ini yang memikul tugas selaku Ketua Stesen Arafah 2 ketika musim haji tahun lepas merasa bimbang kerana terkenangkan betapa sibuknya para jemaah haji menaiki tren dan merasa teruja kerana sekali lagi beliau dapat berkhidmat demi memberi kesenangan kepada para jemaah.

Tepat pukul 4 pagi esok, operasi perkhidmatan rel ‘Al Mashaaer Al Mugaddassah’ akan bermula selama tujuh hari berturut-turut tanpa henti untuk menyediakan kemudahan pengangkutan kepada jemaah haji yang berjumlah lebih tiga juta orang.

“Tentunya saya merasa amat seronok kerana musim haji sememangnya amat ditunggu-tunggu oleh seluruh umat Islam di seluruh dunia. Apatah lagi bagi kami yang membuat persiapan rapi sejak bulan Mei lepas di Tanah Suci Makkah ini untuk menabur bakti kepada umat Islam dari seluruh dunia untuk menunaikan ibadat haji.

“Tetapi mengingatkan kembali pengalaman tahun lepas dengan begitu ramai orang berpusu-pusu di stesen, timbul juga rasa bimbang.

Mohamad Fauzi Abdul Manap (kanan) memberi arahan kepada pekerja mengenai latihan simulasi rel Al Mashaaer Al Mugaddassah Makkah Metro. Operasi tren di trek sepanjang 18.1 kilometer itu diterajui kakitangan Prasarana dengan disokong petugas Express Rail Link (ERL) dan Kereta api Tanah Melayu Berhad (KTMB). – Bernama
Mohamad Fauzi Abdul Manap (kanan) memberi arahan kepada pekerja mengenai latihan simulasi rel Al Mashaaer Al Mugaddassah Makkah Metro. Operasi tren di trek sepanjang 18.1 kilometer itu diterajui kakitangan Prasarana dengan disokong petugas Express Rail Link (ERL) dan Kereta api Tanah Melayu Berhad (KTMB). – Bernama

“Bayangkan ratusan ribu orang memasuki stesen untuk menggunakan tren. Ini adalah tugas yang amat besar dan cabaran yang amat hebat. Terlalu jauh berbeza dengan kerja saya di RapidKL,” kata Mohamad Fauzi sebelum bertolak ke Makkah.

Menghubungkan sembilan buah stesen di Arafah, Mudzalifah dan Mina yang merupakan kawasan melaksanakan rukun dan wajib haji, perkhidmatan Makkah Metro bakal mengendalikan tidak kurang daripada 370,000 penumpang setiap hari dengan jumlah keseluruhan penumpang melebihi dua juta orang dalam tempoh tujuh hari tersebut.

Perkhidmatannya bakal dimanfaatkan oleh jemaah terutama dari negara timur tengah, Afrika Utara dan Asia Selatan yang lokasi khemah mereka adalah berdekatan dengan jajaran rel sepanjang 18 kilometer daripada depoh berhampiran Arafah dengan Jamarat.

“Cabaran paling besar ialah pada hari wuquf di Padang Arafah dengan ratusan ribu jemaah akan menaiki tren dalam tempoh masa lima jam untuk menyempurnakan rukun tersebut. Urusan bermula di Arafah dan segalanya perlu diselesaikan dengan kadar segera.

“Ia memerlukan pergerakan di stesen berjalan cukup pantas dengan semua orang dalam keadaan bergegas. Suasana begini memerlukan ketua stesen untuk mempamerkan tahap disiplin yang tinggi, berdedikasi di samping bersifat kreatif.

“Selain itu ketua stesen perlu turut memantau pergerakan 150 orang petugas di bawahnya,” jelas Mohamad Fauzi yang kali ini bertugas secara langsung dengan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana).

Beliau yang juga seorang pendakwah dan penceramah motivasi akan bersama lebih 400 petugas Prasarana menyertai operasi bersama petugas Express Rail Link (ERL) dan Kereta api Tanah Melayu Berhad (KTMB) bagi musim haji ini.

“Apa juga dugaan dan cabaran yang bakal dihadapi, saya boleh katakan bahawa ini adalah pengalaman terindah bagi saya sejak mula bekerja dengan RapidKL pada tahun 2000,” katanya mengakhiri bicara dan berharap beliau dipilih lagi untuk berkhidmat di Makkah Metro pada musim haji tahun hadapan.

ARTIKEL YANG SAMA