Peraturan baru kawal hutang

Peraturan baru kawal hutang

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Mei – Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) hari ini mengeluarkan beberapa Notis Regulatori baru bagi mengawal hutang isi rumah yang boleh menjadi sumber kelemahan kepada sosioekonomi negara.

Di bawah peraturan baru yang berkuat kuasa pada 8 Jun ini, bank-bank, syarikat-syarikat kewangan dan Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) diarahkan supaya memperkenalkan mekanisme keseluruhan khidmat hutang atauTotal Debt Service Ratio (TDSR) kepada pelanggan-pelanggan yang ingin mengambil kemudahan pembiayaan.

Bank-bank dan Perbadanan TAIB juga diarah meningkatkan had kelayakan pembiayaan peribadi dari 12 kali ganda (gaji kasar) kepada 18 kali ganda (gaji bersih) dengan tempoh maksima 6 tahun.

Notis-notis tersebut dikeluarkan dengan tujuan mengawal hutang isi rumah, menggalakkan institusi-institusi kewangan untuk memberi pembiayaan yang lebih bertanggungjawab dan beretika serta mempromosi dan meningkatkan kebolehan pengurusan hutang (financial debt management) dalam kalangan orang ramai bagi kepentingan kestabilan ekonomi dan kewangan serta menjaga kepentingan orang ramai sebagai pelanggan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, AMBD berkata, TDSR ini akan mengehadkan jumlah pembayaran balik hutang bulanan peminjam bagi memastikan mereka mempunyai baki gaji atau pendapatan yang mencukupi untuk diri dan keluarga bagi keperluan perbelanjaan seharian. Ia juga akan menggalakkan seorang individu untuk menguruskan hutang mereka dengan lebih cekap.

TDSR yang ditetapkan oleh AMBD ialah 60 peratus bagi pelanggan yang mempunyai gaji bersih minima sebanyak $1,750.

Bagi pelanggan yang mempunyai gaji bersih kurang daripada $1,750, TDSR akan tertakluk kepada dasar dalaman institusi kewangan masing-masing.

Institusi-institusi kewangan yang berkenaan adalah dikehendaki untuk memastikan pembiayaan yang diberikan tidak membebankan pelanggan tersebut.

Institusi-institusi kewangan juga perlu memperkenalkan pengawalan caj-caj tertentu seperti caj bagi melunaskan baki hutang sebelum tamat tempoh pembiayaan (early settlement) untuk menggalakkan pelanggan menyelesaikan hutang lebih awal.

Caj-caj lain yang juga dikawal selia adalah pengeluaran Certificate of Balance, Clearance letter dan yuran yang dikenakan bagi pembiayaan yang distruktur semula (restructure atau top-up).

Bagi Peraturan Pembiayaan Peribadi yang tidak bercagar, selain meningkatkan had kelayakan pembiayaan peribadi daripada 12 kali ganda (gaji kasar) kepada 18 kali ganda (gaji bersih) dengan tempoh maksima enam tahun, bank-bank dan Perbadanan TAIB dikehendaki membenarkan penstrukturan semula/top-up ke atas pembiayaan bagi setiap tiga tahun, tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan dan tren rekod pembayaran balik peminjam; mengawal selia produk pembiayaan pusingan (revolving) seperti overdraft; dan menghendaki peminjam untuk mendapatkan perlindungan insurans bagi setiap Pembiayaan Peribadi yang tidak bercagar, sama ada yang baru atau yang telah distruktur semula.

Bagaimanapun, Pembiayaan Pendidikan dan Pembiayaan Pembaikan Rumah adalah dikecualikan daripada Notis Peraturan ini, kata AMBD.

Bagi Skim Penyatuan (Consolidation) Pembiayaan, ia adalah tertakluk kepada memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan, peminjam yang mempunyai beban hutang yang berlebihan dan pembayaran balik hutang bulanan yang tinggi akan dapat menyatukan dan mengurangkan bebanan pembayaran balik bulanan masing-masing.

Untuk maklumat lanjut sila layari www.ambd.gov.bn.

ARTIKEL YANG SAMA