Peraturan jalan raya perlu dipatuhi

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 13 Nov – Para pemandu diingatkan supaya memandu dengan lebih berhati-hati terutama pada musim hujan dan juga pada musim cuti panjang persekolahan bulan depan, demi mengelakkan sebarang kejadian kemalangan jalan raya.

Peringatan itu dibuat oleh Pegawai Penguat Kuasa Kanan Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya Brunei (MKKJB), Pengiran Khairul Yusra bin Pengiran Haji Mohd Yusof semasa ditemu bual Media Permata selepas Majlis Taklimat Mata Demerit (SiKAP) yang berlangsung di ibu pejabat Syarikat Mashhor General Contractor Sdn Bhd (MGCSB) di sini, hari ini.

Beliau juga mengingatkan supaya para pemandu sentiasa mematuhi peraturan keselamatan jalan raya yang telah ditetapkan antaranya seperti mengelakkan penggunaan telefon bimbit semasa memandu, mengurangkan had laju dan sentiasa mengenakan tali pinggang keledar dan sebagainya.

Program Taklimat SiKAP tersebut merupakan kerjasama MKKJB bersama dengan pihak pertubuhan bukan kerajaan dan berkesinambungan dengan Program Kesedaran MKKJB.

Ia juga merupakan salah satu inisiatif kerajaan untuk meningkatkan kesedaran para pemandu terutama pemandu jentera berat untuk patuh dan akur dengan peraturan lalu lintas di negara ini.

Pegawai dan kakitangan Syarikat MGCSB yang menyertai Taklimat Mata Demerit (SiKAP) bersama pegawai-pegawai Sektretariat daripada Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya Brunei.

“Ini juga tidak terkecuali kepada pemandu warga asing dan dalam masa yang sama dalam kesempatan ini memberigakan kepada penunggang-penunggang basikal yang ikut serta dalam acara-acara semasa Bandar Ku Ceria dan Kuala Belait Ku Ceria untuk sama-sama meningkatkan cara berbasikal yang betul dan selamat,” katanya.

Di samping itu, taklimat berkenaan juga diadakan bersempena ulang tahun ke-40 tahun penubuhan MKKJB serta memperingati Hari Mengingati Mangsa Kemalangan Jalan Raya Dunia yang disambut setiap minggu ketiga November.

Turut sama menyampaikan taklimat pada majlis tersebut ialah beberapa orang pegawai sekretariat MKKJB, Awang Muhammad Herman bin Abdullah dan Dayang Halimah binti Haji Mos, yang antara lain menerangkan dengan lebih jelas perlaksanaan SiKAP sebagai sistem di mana pemandu akan boleh dikenakan penggantungan atau pembatalan lesen memandu tergantung kesalahan-kesalahan yang telah dilakukan.

“Apa yang diharapkan melalui program kesedaran seperti itu akan dapat meningkatkan lagi kesedaran orang ramai terutama sekali di kalangan pemandu dalam menanai keselamatan jalan raya dan sentiasa mengingati orang tersayang yang menunggu mereka di rumah,” ujar Pengiran Khairul Yusra.

Lebih 30 orang pegawai dan kakitangan Syarikat MGCSB telah menghadiri taklimat tersebut dan turut hadir ialah Timbalan Pengarah bagi Perhubungan Korporat Syarikat Mashhor, Haji Osman bin Haji Omar serta Pengurus HSSE Korporat, Awang Mohd Rizal bin Dr Haji Abdul Latif.

Awang Mohd Rizal pula memberitahu, program tersebut merupakan aktiviti tahunan syarikat dan ia merupakan kali pertama diadakan tahun ini yang antara lain bertujuan untuk memberikan pengetahuan yang mendalam kepada kakitangan syarikat serta kesedaran dan juga bagi memastikan kesemua kakita-ngan syarikat mempunyai disiplin, sentiasa berwaspada dalam mematuhi peraturan keselamatan jalan raya yang telah disediakan dan ditetapkan.

Pihak syarikat juga berharap dengan perlaksanaan sistem SiKAP itu akan membina keadaan memandu yang lebih selamat dan waspada kepada semua pengguna jalan raya, tambahnya.