Peraturan kesihatan awam sedang digubal

Peraturan kesihatan awam sedang digubal

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

pg01_160310_MMN-_LogoBANDAR SERI BEGAWAN, 9 Mac – Ke arah kepentingan dan keselamatan orang awam, Kementerian Kesihatan pada masa ini dalam proses penggubalan peraturan kesihatan awam bersama rakan-rakan di Jabatan Peguam Negara.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Paduka Dr Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi berkata, dengan adanya penggubalan itu nanti, diharapkan pendaftaran premis makanan akan diwajibkan bagi memudahkan lagi pemantauan dilakukan dan bersama ini juga pengendali atau pengusaha akan dapat dipertanggungjawabkan atas perusahaan mereka.

Di samping itu, ia juga akan dapat meningkatkan kepekaan para pengendali dan pengusaha premis makanan tentang pentingnya keselamatan makanan, tambah beliau semasa menjawab persoalan yang dibentangkan oleh Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Zasia binti Sirin mengenai pemantauan terhadap produk-produk yang dijual di kedai kiub, semasa permesyuaratan hari keempat Majlis Mesyuarat Negara, hari ini.

Yang Berhormat Dato Paduka Dr. Haji Zulkarnain seterusnya berkata, Kementerian Kesihatan melalui Jabatan Perkhidmatan Farmasi dan Jabatan Perkhidmatan Kesihatan Alam Sekitar mempunyai peranan dan tugas untuk memastikan keselamatan makanan dan ubat-ubat yang dijual di negara ini adalah selamat untuk para pengguna.

“Alhamdulillah perusahaan kedai runcit iaitu kedai kiub ini semakin banyak diusahakan dan dengan sendirinya semakin banyak juga penyewa yang menjual barangan mereka dan kebanyakan daripada pengusaha-pengusaha ini adalah terdiri daripada kalangan warga tempatan.”

Pada masa ini didapati kebanyakan syarikat menjual bermacam-macam produk yang bercampur aduk termasuk makanan, barang-barang kosmetik dan juga pil suplemen, ujarnya.

Oleh itu, tambah beliau tindakan kawalan perlu ada bagi memastikan keselamatan orang awam tidak terancam dan pada masa yang sama juga memberikan kemudahan bagi perniagaan-perniagaan kecil dan sederhana dijalankan.

Jabatan Perkhidmatan Farmasi dan Jabatan Perkhidmatan Kesihatan Alam Sekitar, turut menjalankan usaha ‘Postmarketing surveillance’ kepada premis-premis kedai dan perusahaan yang menjual makanan dan perubatan termasuklah pada kedai-kedai kiub. Pemantauan kini dipertingkatkan lagi memandangkan semakin banyak tumbuhnya premis-premis baru.

Mengenai dengan kawalan jualan atau pemasaran ubat dan kosmetik melalui media sosial dan juga kiub, pihak kementeriannya juga menjalankan pemantauan berasaskan kawalan yang telah dikhaskan.

Pada sesi permesyuaratan itu juga, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof turut menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Orang Kaya Jaya Putera Dato Paduka Haji Muhammad Taha bin Abdul Rauf mengenai perlaksanaan dan penyelarasan program-program bantuan yang diberikan oleh pelbagai agensi kerajaan seperti Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) dan lain-lain.

Menurut Yang Berhormat Pehin, perkara ini akan diteliti dan pemantauan akan dibuat secara kerap, begitu juga dengan profil-profil yang ada bagi penerima-penerima lain akan dikemaskinikan lagi.

Ini, katanya, untuk mengelakkan duplikasi dan mengelakkan kawalan data itu tidak lengkap dan mereka yang menerima akan lebih kemas penerimaannya pada setiap bulan dan sepanjang penerimaan hak mereka.

ARTIKEL YANG SAMA