Perayaan Adau Gayoh disambut meriah

Perayaan Adau Gayoh disambut meriah

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 31 Mei – Sambutan Perayaan Adau Gayoh Sang Jati Dusun 2015 dirai meriah malam tadi dengan berbagai acara kebudayaan dalam majlis yang berlangsung di Pantai Peranginan Kampung Sungai Liang.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Pegawai Daerah Belait Haji Haris bin Othman. Hadir sama ialah Penghulu Mukim Liang Haji Abdul Hamid bin Momin yang juga selaku penasihat majlis.

Majlis anjuran bersama Majlis Perundingan Kampung Sungai Liang, Majlis Perundingan Kampung Bukit Sawat, Majlis Perundingan Kampung Merangking dan Majlis Perundingan Kampung Sukang merupakan acara tahunan yang turut dikendalikan bersama oleh Masyarakat Sang Jati Dusun Daerah Belait dan Syarikat Brunei Methanol Sendirian Berhad (BMC).

Pengerusi majlis, Haji Mohd Ibrahim bin DMS Dian dalam ucapan alu-aluannya menyatakan majlis tersebut diadakan antara lain bertujuan untuk mengeratkan silaturahim serta memupuk semangat perpaduan, persefahaman dan permuafakatannya yang sedia ada di kalangan penduduk kampung.

Menurutnya dengan adanya ikatan perpaduan di kalangan penduduk kampung akan dapat mewujudkan kehidupan yang aman damai, harmoni, sejahtera dan bahagia dalam hidup berkeluarga, berjiran dan berkampung dengan tidak mengira bangsa, puak dan kepercayaan masing-masing.

Penyampaian cenderahati daripada Pengerusi majlis Awang Mohd Ibrahim kepada tetamu kehormat Haji Haris.
Penyampaian cenderahati daripada Pengerusi majlis Awang Mohd Ibrahim kepada tetamu kehormat Haji Haris.
Persembahan kebudayaan daripada puak Sang Jati Dusun menambah ceriakan lagi Majlis Sambutan Adau Gayong Sang Jati Dusun 2015.
Persembahan kebudayaan daripada puak Sang Jati Dusun menambah ceriakan lagi Majlis Sambutan Adau Gayong Sang Jati Dusun 2015.

“Saya juga turut merakamkan penghargaan kepada Syarikat BMC Sdn Bhd yang telah memberikan sokongan dan dorongan kepada kami dengan memberikan tajaan bagi menjayakan sambutan berkenaan sejak beberapa tahun lalu hingga sekarang, dan kami berharap sokongan seperti itu tidak akan kendur,” ujarnya.

Berbagai-bagai persembahan kebudayaan, seperti tarian Temarok, Ancayau, Mengambit Kesap dan biola dan persembahan daripada kalangan puak Sang Jati Dusun Daerah Belait telah menyerikan lagi suasana majlis itu.

Tahun ini sambutan dilakukan secara agak santai di kawasan lokasi terbuka di pantai peranginan, untuk mewujudkan suasana ramah mesra dan perpaduan.

ARTIKEL YANG SAMA