Perbaiki ketahanan sistem kesihatan

Perbaiki ketahanan sistem kesihatan

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Mei – Para jururawat perlu melibatkan diri dalam tugas, sentiasa terdorong untuk bersikap inovatif dan menghasilkan idea-idea yang cemerlang jika ingin memperkasakan hak dan kedudukan mereka dalam pembangunan ilmu kesihatan.

Mereka harus menghasilkan idea yang mampu melangkaui tanggapan terdahulu, yang mampu membuka perspektif baru mencabar daya intelektual dalam usaha untuk memperbaiki lagi penjagaan pesakit.

Timbalan Dekan (Pelajar Penyelidikan dan Hal Ehwal Global), Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah (PAPRSB IHS), Universiti Brunei Darussalam, Profesor Madya Dr. Anne Cunningham, menyatakan demikian semasa berucap pada majlis Ceramah Awam Khas mengenai Inovasi Dalam Amalan Kejururawatan: Kemungkinan dan Kejatuhan, yang diadakan di bangunan institut itu, hari ini.

Ceramah yang dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Jururawat Negara Brunei Darussalam (PENJURU) itu turut dihadiri oleh para pelajar kejururawatan dan perbidanan, jururawat dan bidan Kementerian Kesihatan, Syarikat Minyak Brunei Shell, Kementerian Pertahanan dan Pusat Perubatan Jerudong Park, dan guru kesihatan dari sekolah kerajaan dan swasta serta pengamal perubatan tempatan.

Majlis Jururawat Antarabangsa telah mengumumkan tema bagi Hari Jururawat Antarabangsa 2016 iaitu Jururawat: Kuasa Perubahan: Memperbaiki Ketahanan Sistem Kesihatan.

Profesor Dr. Munikumar Venkatasalu ketika menyampaikan ceramahnya pada majlis itu.
Profesor Dr. Munikumar Venkatasalu ketika menyampaikan ceramahnya pada majlis itu.

Pemilihan tema itu mencerminkan kandungan ceramah awam khas yang dikendalikan oleh Timbalan Presiden Rangkaian Antarabangsa bagi Pendidikan Kedoktoran dan Kejururawatan (INDEN), United Kingdom, Profesor Dr. Munikumar R Venkatasalu.

Dalam ceramahnya, Profesor Dr. Vankatasalu membincangkan konsep inovasi dalam amalan kejururawatan dan menerangkan peluang bagi melakukan inovasi dalam amalan kejururawatan harian serta memetik beberapa kajian kes dan contoh sebagai sokongan kepada hujah yang disampaikan olehnya.

Beliau seterusnya menyarankan para jururawat supaya melibatkan diri mereka dalam pelbagai bentuk inovasi termasuk inovasi terhadap peralatan yang digunakan dalam penjagaan pesakit, alat bantuan baru untuk mengukur hasil penjagaan pesakit, mencuba dan menguji perkhidmatan baru dan kepentingan untuk mempelajari trend terkini dalam perkhidmatan penjagaan pesakit.

Ujar Profesor Dr. Venkatasalu lagi, inovasi merupakan faktor penentu yang penting dalam senario penjagaan kesihatan pada hari ini yang mencabar dan sering berubah-ubah.

Ini kerana, di peringkat global, inovasi dalam kejururawatan dan penjagaan kesihatan pesakit telah terbukti meningkatkan tahap kepuasan para pesakit, penjagaan berkualiti, penambahbaikan dalam perkhidmatan, kos efektif dan meningkatkan tahap kepuasan dalam pekerjaan bidang kejururawatan.

“Inovasi dalam kejururawatan tidak boleh berlaku tanpa sokongan organisasi dan apa yang perlu adalah, diwujudkan sebuah pusat inovasi kejururawatan, makmal penyelidikan kejururawatan dan menggalakkan para jururawat mengambil bahagian dalam pertandingan inovasi di peringkat kebangsaan.

Beliau berpendapat bahawa Anugerah CIPTA sebagai salah satu contoh yang mana para jururawat perlu tampil untuk bekerjasama sesama sendiri supaya dapat mengetengahkan ciptaan mereka.

Profesor Dr. Venkatasalu juga menekankan, agar sejajar dengan hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, yang digariskan dalam dasar kebangsaan terhadap kepelbagaian ekonomi yang memberi penekanan khusus terhadap inovasi.

Susulan ceramah khas itu, akademi Kejururawatan dan Perbidanan Institut Sains Kesihatan PAPRSB turut mengadakan perbincangan meja bulat dengan pelajar kejururawatan tahun akhir BHSC untuk membangunkan projek inovasi sebagai sebahagian daripada kurikulum mereka.

ARTIKEL YANG SAMA