Perbaiki keupayaan dan kualiti penulisan

Perbaiki keupayaan dan kualiti penulisan

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Dis – Institut Perkhidmatan Awam (IPA), hari ini, telah mengadakan majlis penyampaian hadiah bagi para pemenang Peraduan Menulis Esei IPA 2015.

Hadir menyempurnakan penyampaian hadiah ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Korporat dan Pentadbiran Awam) di Jabatan Perdana Menteri, Awang Mohd Riza bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos.

Muncul juara dalam kategori penyelidikan ialah Dr. Khadizah binti Haji Mumin yang membawa pulang wang tunai $2,000, diikuti oleh Wan Harris Zaky bin Haji Ibrahim di tempat kedua dan Dr. Rosnan bin Ismail di tempat ketiga dengan masing-masing memenangi wang tunai $1,800 dan $1,600.

Sementara itu, kategori kontemporari pula dijuarai oleh Hajah Noorul Farizalina binti Abdul Karim yang memenangi wang tunai $1,000, manakala itu, pemenang kedua dan ketiga iaitu Dayang Safriah binti Haji Hamdan dan Dayang Alyani binti Haji Ismail masing-masing menerima $800 dan $600.

Awang Mohd Riza ketika menyampaikan hadiah kepada Hajah Noorul Farizalina.
Awang Mohd Riza ketika menyampaikan hadiah kepada Hajah Noorul Farizalina.
Dr. Khadizah selaku pemenang di tempat pertama dalam kategori penyelidikan.
Dr. Khadizah selaku pemenang di tempat pertama dalam kategori penyelidikan.

Penyertaan para penulis dalam peraduan ini memberikan kepercayaan kepada warga perkhidmatan awam dan orang ramai bahawa segala idea dan pemikiran yang disampaikan melalui penulisan esei adalah dipertimbangkan sebagai bahan pencetus pemikiran yang berguna dan seterusnya menjana kepada perkembangan ilmu pengetahuan.

Pada tahun ini, sebanyak 12 buah esei diterima untuk kategori penyelidikan dan 16 bagi kategori kontemporari, dengan mengetengahkan tema yang meliputi aspek Transformasi Perkhidmatan Awam Menuju Wawasan Negara 2035, Produktiviti dan Kualiti Dalam Perkhidmatan, Falsafah Melayu Islam Beraja Dalam Pengurusan Organisasi, Nilai dan Etika Kerja, Amalan Terbaik dalam Kepemimpinan, Perkhidmatan Pelanggan, Pengurusan Sumber Manusia, Komunikasi, Kreativiti dan Inovasi.

Peraduan ini merupakan sebahagian daripada aktiviti tahunan IPA yang bersesuaian dengan matlamat institut untuk memperbaiki keupayaan, kualiti serta pembangunan sumber tenaga manusia di Negara Brunei Darussalam.

Ia juga memberi peluang kepada para penulis untuk meneroka dan membangkitkan isu-isu yang perlu diteliti bersesuaian dengan tema yang ditentukan oleh pihak penganjur.

ARTIKEL YANG SAMA