Perbaiki kualiti perkhidmatan

Perbaiki kualiti perkhidmatan

Oleh Siti Nur Wasimah S.

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Nov – Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), pagi tadi, telah mengadakan mesyuarat pertama Lembaga Pelancongan Brunei setelah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam memperkenankan undang-undang baru iaitu Tourism Order 2016 atau Perintah Pelancongan 2016 yang telah berkuat kuasa mulai 26 Oktober tahun ini.

Mesyuarat yang berlangsung di Dewan Pahlawan KSSUP itu telah dihadiri oleh Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong selaku pengerusi Lembaga Pelancongan Negara Brunei Darussalam.

Juga hadir ialah Setiausaha Tetap di KSSUP, Dr. Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin selaku Timbalan Pengerusi Lembaga Pelancongan Negara Brunei Darussalam dan ahli-ahli lembaga tersebut.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali dalam ucapannya menyuarakan bahawa masih terdapat banyak perkara yang memerlukan penambahbaikan dan berharap agar Lembaga Pelancongan Negara Brunei Darussalam ini boleh dijadikan landasan untuk bertukar-tukar fikiran dalam mencari jalan bagi membangun lebih banyak produk pelancongan dalam negara, dalam memperbaiki kualiti perkhidmatan dan layanan ke atas keselesaan dan dari segi keselamatan mereka.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali semasa mempengerusikan mesyuarat tersebut.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali semasa mempengerusikan mesyuarat tersebut.

Kesemua ini akan dapat menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai destinasi yang kompetitif dan menarik.

Beliau juga menggesa agar ejen-ejen pelancongan dan pembekal produk dan perkhidmatan pelancongan untuk sama-sama membantu kerajaan dalam memberigakan negara ini sebagai sebuah destinasi pelancongan yang dapat menawarkan pengalaman unik kepada pengunjung-pengunjung dari dalam dan luar negara.

Penubuhan Lembaga Pelancongan Brunei Darussalam bertujuan sebagai platform KSSUP untuk mengadakan permuzakarahan dengan berbagai-bagai pihak yang berkepentingan dalam industri pelancongan seperti kementerian-kementerian yang berkenaan, pengusaha-pengusaha perhotelan dan pengangkutan, ejen-ejen pelancongan dan perjalanan, pengusaha-pengusaha sajian dan makanan serta lainnya.

Permuzakarahan ini penting untuk mendapatkan pandangan dan buah fikiran serta untuk mendengarkan apa jua isu yang mungkin akan ditimbulkan oleh pelbagai pihak dalam industri pelancongan ini.

KSSUP telah mengenal pasti tiga kategori utama produk pelancongan iaitu Produk Prima, Produk Emerging dan Produk Activity-based.

Produk Prima sudah sememangnya diiktiraf sebagai tarikan utama dalam kalangan pelancong-pelancong tempatan dan luar negara. Ini termasuklah Taman Negara Ulu Temburong dan sekitarnya, Kampong Ayer dan Mangroves serta tempat-tempat menarik sekitar Bandar Seri Begawan.

Pada masa ini, terdapat beberapa Produk Emerging yang berpotensi untuk dinaikkan taraf dan dibangunkan sebagai produk utama yang termasuk pantai-pantai dan taman rekreasi.

Manakala itu, produk yang dikategorikan sebagai berasaskan aktiviti adalah menyelam, memerhatikan burung, pelancongan Islam, pelancongan perubatan tradisional, pelancongan sukan, kapal persiaran, pelancongan pendidikan, mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE), pengembaraan dan pelancongan berasaskan komuniti.

Dalam tempoh 12 bulan kebelakangan ini, dengan penglibatan beberapa kementerian dan agensi berkenaan, negara telah mencapai beberapa kemajuan dalam sektor pelancongan. Antaranya memudahkan bagi pelawat dari China, Taiwan, Rusia dan Turki melancong ke negara ini.

Jabatan Kemajuan Pelancongan (JKP) juga telah melancarkan pakej percutian Temburong dan risalah bagi Bird-Watching.

Selain itu juga, melalui kerjasama dengan Kolej Perdagangan Laksamana, JKP telah memperkenalkan latihan mandatori bagi pemandu pelancongan dan jabatan juga telah mengeluarkan Request For Proposal untuk membangunkan, mengurus, mengendali dan menyelenggarakan Galeri Kebudayaan dan Pelancongan Kampong Ayer di Kampung Lurong Sikuna.

Melalui kerjasama dengan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, jabatan berkenaan juga memperkenalkan Heritage Trail di ibu negara dan mulai tahun 2017, JKP akan mula menggunakan sebahagian bangunan bekas Dermaga Kastam Diraja untuk dijadikan Pusat Maklumat Pelancong.

JKP turut bekerjasama dengan sebuah penerbit majalah daripada Negara Perancis iaitu L’Essentiel untuk mempromosikan Negara Brunei Darussalam sebagai destinasi pelancongan.

Satu lagi kejayaan JKP adalah penyediaan Pelan Strategik Pelancongan dengan sasaran utama untuk menggandakan jumlah pelancongan yang datang ke negara ini melalui udara daripada 218,000 orang pada tahun 2015 kepada 450,000 pada tahun 2020.

ARTIKEL YANG SAMA