Perbaiki permainan di depan pintu gol – Lloris

Perbaiki permainan di depan pintu gol – Lloris

LONDON, 15 Okt – Tottenham Hotspur perlu menjadi lebih prolifik di depan pintu gol, kata kapten, Hugo Lloris mengulas situasi pasukan dari London itu yang ketika ini memiliki rekod jaringan terburuk di Liga Perdana Inggeris (EPL).

Ditambah dengan keadaan penyerang utama, Harry Kane yang meledak gol 30 sepanjang musim lalu bergelut untuk mengulangi prestasinya pada kempen kali ini, hanya 11 gol berjaya diledakkan Spurs daripada lapan perlawanan liga.

Kekurangan itu bertambah jelas apabila pertahanan, Eric Dier bersama pemain tengah, Christian Eriksen ketika ini muncul penjaring terbanyak Tottenham selepas masing-masing mengumpul dua jaringan.

Lloris memberi contoh ketika keputusan seri 2-2 dicatat ketika bertemu Swansea City pada 4 Oktober lalu yang menyaksikan Spurs melakukan 16 cubaan dengan 12 daripada cubaan tepat namun gagal dijelmakan kepada jaringan.

“Jika kami perlu memperbaiki salah satu aspek daripada permainan kami, ia adalah di depan pintu gol. Kami perlu menjaringkan lebih gol,” kata pemain antarabangsa Perancis itu di laman web pasukan, (www.tottenhamhotspur.com).

“Menentang Swansea, kami mempunyai begitu banyak ruang dan juga peluang namun kami perlu menjadi lebih klinikal di depan pintu gol.

“Ia bukan berkaitan seorang pemain namun semua pemain di posisi serangan, mereka perlu masuk ke dalam kotak (penalti) dan menjadi lebih agresif dengan keinginan untuk menjaringkan gol.

“Hasilnya akan datang, jika kami mengekalkan sikap dan tingkah laku yang sama,” kata pemain berusia 28 tahun itu. – Reuters

ARTIKEL YANG SAMA