Perbaiki sistem belajar Al-Quran

Perbaiki sistem belajar Al-Quran

Oleh Salawati Haji Yahya

Gambar Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 April – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menekankan supaya perhatian berat terhadap Al-Quran hendaklah diteruskan melalui cara berterusan memikir, merancang dan melaksanakan program-program yang bersesuaian.

Baginda juga menekankan peri mustahak difikirkan mengenai bagaimana cara untuk meningkatkan keberkesanan mata pelajaran Al-Quran di sekolah-sekolah agama memandangkan pencapaian bacaan Al-Quran di sekolah-sekolah agama pada masa ini masih di tahap yang memerlukan pembaikan dan peningkatan.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia menekankan perkara ini dalam titah Baginda pada Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1437 Hijrah/2016 Masihi yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas malam ini.

Titah Baginda, apa yang mustahak di peringkat kanak-kanak ini ialah untuk menjadikan mereka itu betul-betul pandai membaca Al-Quran dan inilah yang lebih mustahak disempurnakan sebelum berbangkit mengenai pemahaman ayat-ayatnya dan lain-lain.

Baginda Sultan berkenan menganugerahkan piala kepada johan Qari Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1437 Hijrah/2016 Masihi, Awangku Muhammad Adibul Amin bin Pengiran Haji Marjuki.
Baginda Sultan berkenan menganugerahkan piala kepada johan Qari Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1437 Hijrah/2016 Masihi, Awangku Muhammad Adibul Amin bin Pengiran Haji Marjuki.

Pada hemat Baginda, di samping pembaikan membaca Al-Quran di peringkat rendah, adalah lebih baik diteruskan membuat kajian mengenai kemampuan penuntut-penuntut sekolah menengah dalam membaca Al-Quran.

Ini kerana walaupun mereka sudah belajar membaca Al-Quran melalui persekolahan agama sehingga darjah enam tapi terdapat tanda-tanda mutu bacaan Al-Quran mereka itu belum sebaik yang diharapkan, titah Baginda.

“Apabila mutu bacaan Al-Quran itu belum sampai ke tahap seperti apa yang diharapkan, ini bererti kajian segera dan realistik perlu dijalankan.

“Sayugia diingat keperluan untuk memperbaiki sistem pembelajaran Al-Quran terutama bagi sekolah-sekolah agama, sangatlah mendesak kerana persekolahan agama itu merupakan asas dan teras dalam sistem pendidikan negara pada keseluruhannya. Oleh itu asas ini perlulah kuat untuk memperkemas pendidikan bangsa.”

Kebawah Duli Yang Maha Mulia turut melahirkan rasa syukur dengan penganjuran Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan yang kini sudah memasuki kali ke-56, yakni sudah lebih setengah abad negara menganjurkan musabaqah bacaan Al-Quran peringkat dewasa.

Menurut Baginda, selama 56 tahun itu banyak melahirkan Qari dan Qariah dan di antara mereka ada yang berpeluang mewakili negara ke musabaqah di luar negara.

“Kita berasa bangga, apabila ada di antara mereka yang mencapai mutu bacaan yang baik dan menggalakkan.

“Kita juga bersyukur kerana semua peringkat, musabaqah membaca Al-Quran yang diadakan di negara ini, khasnya murid-murid sekolah dan belia-belia adalah memberi makna bahawa, kitab suci Al-Quran itu benar-benar kita hayati dan tidak diabaikan.

“Maksud Beta ialah, kita di negara ini sangat memberikan perhatian kepada Al-Quran, kita tidak meringan-ringankannya tapi terus memelihara memartabatkannya termasuk melalui pelbagai program mengenai Al-Quran.

“Selain mengadakan program mempelajarinya menerusi sistem persekolahan agama di samping mengadakan program menghafaz hingga membawa mempelajari ilmu Qiraat Al-Quran di Institut Thafiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang melayakkan lepasannya melanjutkannya pengajian Ilmu Qiraat ke peringkat yang lebih tinggi.

“Sebagai langkah mengembang dan menyebar luaskan lagi ilmu dan amalan menghafaz Al-Quran itu, kita juga ada menganjurkan Program Huffaz iaitu program melahirkan penghafaz dan pengamal hafazan Al-Quran dalam kalangan orang ramai.”

Titah Baginda, setakat ini 163 orang telah diperakukan sebagai huffaz iaitu penghafaz dan pengamal hafazan Al-Quran dalam kategori hafazan 10, 20 dan 30 Juzuk.

Mereka ini titah Baginda lagi, diperiksa menerusi ujian Tasmiqnya di mana Tasmiq pada setiap tahun sebelum mereka layak untuk menerima elaun galakan.

Di samping itu, kita juga telah menerbitkan Mushaf Brunei Darussalam tulisan tangan yang disusuli dengan penerbitan tafsir Mushab Brunei Darussalam dan terjemahannya.

Baginda seterusnya bertitah, perhatian dalam Al-Quran setakat ini adalah sebagai tanda menunaikan tanggungjawab beragama dengan sempurna dan dalam masa yang sama, bertabaruk atau mengambil berat daripadanya kerana kitab suci Al-Quran itu adalah pembawa keberkatan daripada Allah Subhanahu Wa ta’ala.

ARTIKEL YANG SAMA