Perbaiki taraf kehidupan

Perbaiki taraf kehidupan

Oleh Hajah Saemah Kepli

KUALA BELAIT, 5 Jun – Para penerima bantuan dan ahli keluarga mereka diseru supaya terus berusaha dengan lebih gigih tanpa berputus asa dalam me-ningkatkan dan memperbaiki kehidupan mereka.

Ini apatah lagi demi melihat perubahan terhadap kehidupan anak-anak supaya terjaga dan terjamin kesejahteraan mereka dari sudut perkembangan fizikal dan intelektual, kematangan fikiran dan emosi, kecerdikan rohani dan kemahiran untuk terus meningkatkan diri.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Dato Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud berkata, perubahan ke arah kehidupan yang lebih baik bukan setakat mengharap atau menunggu.

Beliau membuat seruan ini ketika berucap selaku tetamu kehormat pada Majlis Penyerahan Anak Kunci Rumah Bantuan Pusat Dakwah Islamiah (PDI) dan Penyerahan Bantuan Keperluan Harian Kepada Mualaf Daerah Belait Bagi Tahun 1437H/2016M berlangsung di Dewan Sekolah Ugama Sungai Taring, Lumut di sini, hari ini.

Dalam ucapannya itu, beliau turut menekankan, dalam berusaha, perlu diingat bahawa sudah tentu ada kewajipan-kewajipan khususnya dalam penghayatan beragama, tanggungjawab dan hak-hak lain khususnya para ibu bapa dan anak-anak yang perlu ditunaikan demi mendapatkan keredaan Allah S.W.T.

Penyerahan kunci kepada seorang mualaf.
Penyerahan kunci kepada seorang mualaf.
Penyerahan bantuan harian kepada salah seorang mualaf.
Penyerahan bantuan harian kepada salah seorang mualaf.
Dato Paduka Haji Abdul Mokti menandatangani plak.
Dato Paduka Haji Abdul Mokti menandatangani plak.

“Amatlah janggal dan rugi kiranya dalam berusaha, kita lupa atau sengaja untuk meninggalkan kewajipan-kewajipan tersebut, usaha yang berterusan dan mendapat keberkatan Allah sudah tentu akan menerima pulangan yang sangat lumayan, seperti Firmah Allah Subhanahu Wataala dalam Surah ar-Ra’du ayat 11 bermaksud Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri,” tambahnya.

Beliau juga menyatakan, PDI telah, sedang dan akan terus giat melaksanakan dakwah khususnya dakwah dalam hal yang bukan sahaja berupa bantuan rumah, malah merangkumi bantuan keperluan harian yang diberikan setiap bulan bagi mereka yang kurang berkemampuan, bantuan berupa Engin Generator, tangki dan pam air, peralatan pertanian, peralatan-peralatan untuk memulakan perniagaan dan lainnya.

Sehubungan dengan itu, beliau juga menyeru supaya penerima akan dapat menjaga, memelihara dan menggunakan bantuan-bantuan berkenaan dengan bijak, dan menjadikannya sebagai langkah pertama untuk mengorak kejayaan.

Ini kerana, tambah beliau, perkara itu bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dicapai kerana memang terdapat dalam kalangan penerima bantuan telah membuktikan diri berjaya menghasilkan produk yang sentiasa mendapat permintaan tinggi serta memiliki perniagaan yang berjaya.

Beliau seterusnya turut menekankan bahawa PDI dan Majlis Ugama Islam sahaja sudah tentu tidak berkemampuan untuk mengenal pasti setiap individu atau keluarga yang memerlukan bantuan tanpa kerjasama berbagai pihak terutama sekali pemimpin-pemimpin masyarakat dan orang ramai.

Oleh itu, beliau menyeru para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung supaya berkongsi maklumat atau memaklumkan kepada pihak Majlis Ugama Islam Brunei sekiranya terdapat golongan yang memerlukan bantuan tetapi tercicir, enggan memohon, tiada maklumat mengenai bantuan zakat, mempunyai masalah perhubungan komunikasi atau berkemungkinan saja memikirkan maruah diri yang perlu dijaga.

Tambah beliau, banyak lagi perancangan-perancangan dan usaha yang telah diatur dan disusun untuk membantu para mualaf dan juga asnaf yang lain seperti asnaf fakir miskin ke arah kemajuan dan kecemerlangan, bukan saja daripada aspek kesejahteraan hidup duniawi, bahkan juga dari aspek penghayatan beragama ke arah kehidupan ukhrawi yang lebih bermakna.

Dalam usaha membantu memajukan ekonomi para mualaf, PDI pada tahun lalu, telah memperkenalkan Unit Pengupayaan Mualaf iaitu di bawah Bahagian Pembangunan Mualaf.

Unit tersebut bertujuan khas memeduli serta melaksanakan program-program dan aktiviti-aktiviti bagi membangun sahsiah para mualaf di negara ini, sama ada dari sudut kemahiran, jati diri sekali gus dalam membantu meningkatkan sosioekonomi keluarga.

Pada majlis berkenaan, Dato Paduka Haji Abdul Mokti telah menyempurnakan penyampaian anak kunci rumah bantuan PDI kepada penerimanya iaitu Dayang Merlini binti Abdullah.

Dayang Merlini, 63, yang berbangsa Iban telah memeluk ugama Islam sejak tahun 1985 dan sebelum ini tinggal di Rumah Panjang Kampung Melilas, Ulu Belait bersama suaminya, Awang Mursidi bin Abdullah @ Tubai Anak Lepa, dan empat orang anak mereka.

Ketua Pegawai Ugama Daerah Belait, Haji Asminan bin Haji Chuchu dalam ucapan alu-aluannya selaku pengerusi majlis menyatakan bahawa antara objektif rumah bantuan yang diberikan adalah sebagai salah satu sarana dakwah kepada mualaf di negara ini dalam membantu mempertingkatkan mutu kehidupan mereka bagi menjamin kehidupan yang lebih baik dan sempurna supaya para mualaf yang menerima itu dapat melaksanakan ibadah dengan sempurnanya.

Selain itu, tambah beliau, ia juga salah satu usaha dan rasa pemedulian PDI kepada mualaf yang memerlukan bantuan bagi menjamin kehidupan kepada yang lebih baik dan sempurna.

Beliau turut melahirkan harapan, dengan adanya bantuan dan pertolongan tersebut akan dapat mengangkat lagi syiar Islam di negara ini dan seterusnya memberi gambaran yang jelas tentang keindahan ugama Islam itu sendiri.

Majlis turut menyaksikan penyerahan bantuan keperluan harian kepada lebih 60 orang Mualaf Daerah Belait, yang akan menerima keperluan harian selama setahun bermula bulan April 2016 hingga Bulan Mac 2017.

Pada tahun ini, sebanyak 304 buah keluarga telah terpilih untuk menerima bantuan seumpamanya di seluruh negara, daripada jumlah tersebut 46 adalah dari Daerah Brunei Muara, 150 dari Daerah Tutong, 66 dari Daerah Belait dan 42 dari Daerah Temburong.

Dato Paduka Haji Abdul Mokti menandatangani plak.
Dato Paduka Haji Abdul Mokti menandatangani plak.
Penyerahan bantuan harian kepada salah seorang mualaf.
Penyerahan bantuan harian kepada salah seorang mualaf.

 

ARTIKEL YANG SAMA