Perbankan Islam digesa tempuhi risiko berkembang ke luar negara

Perbankan Islam digesa tempuhi risiko berkembang ke luar negara

KUALA LUMPUR, 15 Okt – Penggiat industri perbankan Islam tempatan perlu berani meneroka pasaran asing bagi melebarkan sayap perniagaan masing-masing selain mengembangkan industri berkenaan, kata Pengerusi Eksekutif Kumpulan Amanie Datuk Dr Mohd Daud Bakar.

Mohd Daud berkata banyak syarikat terlalu takut untuk berhadapan dengan potensi risiko dalam pasaran asing.

“Mereka terlalu obses dengan kisah kejayaan sendiri dan cenderung untuk memberi tumpuan ke atas pembukaan perniagaan di Malaysia semata-mata. Mereka sepatutnya menggunakan kepakaran yang dimiliki untuk meneroka pasaran luar.

“Dalam segmen ini, kita memiliki kepakaran, dan banyak negara mengharapkan kita membawa modal serta kepakaran dan membuka bank Malaysia,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata Malaysia mempunyai keupayaan untuk membuka bank dan syarikat yang menawarkan produk dan perkhidmatan perbankan Islam memandangkan ia merupakan penggiat industri perbankan Islam ketiga terbesar di dunia selepas Iran dan Arab Saudi.

Malangnya, Mohd Daud berkata pemilik bank Malaysia kurang berminat untuk keluar, atas pelbagai alasan.

“Ini merupakan kegagalan yang besar kerana mereka sewajarnya mempelbagaikan risiko.”

“Apabila sudah terjejas di Malaysia, sudah pasti anda akan dapat meneruskan kelangsungan hidup… melabur di luar negara dapat memberikan pendedahan baharu dan membawa pulang wang.

Firma penasihat Syariah yang dibangunkan dalam negara itu juga mahu memastikan kewujudkan lebih ketara dan memberi impak ke atas industri dunia selepas memenangi ‘Anugerah bagi Infrastruktur Pengetahuan Ekonomi Islam’ pada Sidang Kemuncak Ekonomi Islam Dunia di Dubai, Isnin lepas, katanya.

“Bagi mengekalkan standard, kami akan memberi motivasi kepada orang lain dan melaksanakan inisiatif baharu bagi membuktikan impak kami ke atas pasaran,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA