Perbanyakan amalan bersedekah

Perbanyakan amalan bersedekah

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Sept – Bersedekah adalah satu amalan yang terpuji dan dianjurkan dalam Islam, malah kita disunatkan untuk memperbanyakkan amalan bersedekah sebagai tanda mensyukuri nikmat kurniaan Ilahi.

Khatib dalam Khutbah Jumaatnya hari ini berkata, bersedekah mewujudkan keberkatan dalam harta yang dimiliki, menanamkan rasa keinsafan dalam diri manusia, mengeratkan silaturahim, belas kasihan dan rasa tanggungjawab sesama manusia.

Menurutnya, ramai orang berangan-angan untuk bersedekah bila mempunyai harta yang banyak tapi apabila sudah memiliki harta yang banyak lupa untuk bersedekah atau mensyukuri nikmat atau harta yang dimiliki, malah harta yang banyak sering digunakan untuk kepentingan sendiri hingga lupa untuk menggunakan sebagai saham di akhirat kelak.

Sehubungan itu, tegas khatib, apabila hendak bersedekah jangan tunggu apabila sudah mempunyai harta banyak kerana harta yang banyak kadang-kadang membuat hati terlalu sayang kepadanya dan berat untuk menghulurkannya.

“Harta itu tidak lain hanya sebagai perhiasan dan fitrah dan ujian dari Allah untuk menilai sejauh mana kita dapat menggunakannya ke jalan yang diredaiNya.

“Jangan berasa ragu mengenai keberkatan bersedekah dan jangan juga asyik mengumpul harta hingga lupa tanggungjawab sebagai hamba kepada penciptanya,” kata khatib sambil mengingatkan bahawa dalam bersedekah hendaklah disertakan dengan niat yang ikhlas semata-mata kerana Allah.

“Janganlah mengharap kepada pujian dan sanjungan kerana Allah telah menjelaskan setiap amal kebajikan hambaNya sama ada kecil atau besar, banyak atau sedikit akan tetap diberikan ganjaran setimpal.

“Harta yang dimiliki sama ada banyak atau sedikit bukan semua milik kita, kerana ada hak orang lain di dalamnya dan gunakan harta tersebut ke jalan yang diredai oleh Allah.”

Menurut khatib lagi, rezeki yang sedikit tidak semestinya tidak mencukupi atau membuat hidup susah dan merana. Begitu juga sebaliknya, harta yang banyak, wang yang banyak tidak semestinya dapat menjamin hidup di dunia apa tah lagi kebahagiaan di akhirat nanti.

“Apa yang penting dalam kehidupan kita selaku orang-orang Islam adalah amalan saling bantu-membantu satu dengan lain di mana orang kaya membantu yang miskin dan yang miskin pula membalasnya dengan hal yang terbaik yang mampu dilakukannya sekurang-kurangnya memanjatkan doa kepada Allah.

“Dengan demikian tidak akan berlaku jurang di antara yang kaya dengan yang miskin dan kehidupan di dunia ini akan aman dan makmur, semoga dengan amalan bantu-membantu dan bersedekah akan terus mendapat berkat, rahmat, redha dari Allah,” jelas khatib.

ARTIKEL YANG SAMA